Lawak ‘Biadap’ Nabil Terhadap Elly Mazlein Dikecam Netizen

“MACAM ni punya cantik pun berpisah jua,” kata pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad yang ditujukan kepada Elly Mazlein selepas persembahannya pada program realiti Gegar Vaganza, malam tadi.

Mungkin ianya ‘bahan’ lawak Nabil pada malam konsert kedua program tersebut namun ia mendapat kecaman hebat netizen yang menganggap kenyataan itu sebagai biadap dan keterlaluan.

Netizen menganggap Nabil tidak mempunyai adab dalam pengacaraan dan tidak dapat membezakan lawak jenaka dengan kehidupan peribadi seseorang.

“Nabil ni memang takda adab mengacara? There’s fine line between making a joke and probing into someone’s privacy,” tulis Azril Izuan dalam Twitter.

Ada juga yang melabelkan Nabil sebagai biadap dan tidak sensitif dengan keadaan semasa.

“Bukan semua perkara boleh dibuat lawak,” tulis Ismail Husairi.

Bagaimanapun, Elly kelihatan bijak mengawal suasana dan tidak melatah dengan lawak Nabil yang dianggap biadap dan tidak sensitif dengan keadaan sehinggkan isu peribadi seseorang dijadikan bahan jenaka.

Umum mengetahui, Elly sedang mendapatkan semangat baru selepas baru sahaja bercerai dengan bekas suaminya iaitu pengarah drama, Azmi Hatta dan beberapa isu lain berhubung perkahwinan mereka.

Pada konsert berkenaan, Elly menyampaikan lagu Berpisah Jua nyanyian asal Ziana Zain.

Persembahan Elly berjaya memukau dan menyentuh hati penonton.

Lirik lagu tersebut seolah-olah ‘kena’ dengan kisah hidup Elly namun dia kelihatan tabah dan kekal fokus dalam pertandingan tersebut.

Nabil sebelum ini pernah dikecam kerana mempersendakan Caliph Buskers dan pada konsert Gegar Vaganza musim kedua pula ditegur secara live oleh juri jemputan, Datuk M. Nasir yang mungkin bengang selepas Nabil membuat lawak menggunakan isterinya, Marlia Musa.

Diharapkan selepas ini Nabil akan lebih sensitif dan berjaga-jaga dalam berjenaka. Tak semua isu boleh dijadikan bahan ketawa. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA