Larangan Merokok Di Tempat Di Filipina Kuatkuasa Bulan Depan


MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte akan menandatangani peraturan larangan merokok di tempat awam seluruh negara pada penghujung bulan ini dan dijangka akan mula dikuatkuasakan bermula awal November depan.

Setiausaha Kementerian Kesihatan, Paulyn Jean Rosell-Ubial berkata, sejurus selepas peraturan itu dikuatkuasakan, aktiviti merokok tidak akan dibenarkan sama sekali di tempat awam, sama ada di dalam atau luar premis.

Menurutnya, undang-undang akan diguna pakai untuk kenderaan awam malah kawasan khas merokok akan didirikan sekurang-kurangnya 10 meter di luar bangunan.

“Taman, stesen bas dan malah dalam kenderaan persendirian pun tidak dibenarkan, semua ini dianggap tempat awam.

“Tindakan tegas akan diambil seandainya pelaku tersebut enggan mematuhi peraturan baru ini,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Dalam pada itu, rata-rata kumpulan yang mengadakan kempen kesihatan menyambut baik langkah tegas yang diambil oleh Duterte yang juga terkenal dengan rekod anti jenayah tegar.

Kira-kira 17 juta penduduk atau hampir satu pertiga jumlah penduduk dewasa merupakan perokok tegar merokok di Filipina, angka tersebut kedua tertinggi di rantau itu selepas Indonesia.


- Reuters

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA