KWSP Lancar Program Transformasi Bayaran Caruman



KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan Program Transformasi Bayaran Caruman melalui e-Caruman.

Ia bertujuan menggalakkan majikan mengoptimumkan penggunaan kemudahan e-Caruman semasa membayar caruman KWSP setiap bulan.
Program itu adalah kerjasama antara KWSP dan Malaysian Electronic Clearing Corporation Sdn Bhd (MyClear), anak syarikat Bank Negara Malaysia yang mengendalikan sistem FPX.

FPX adalah gerbang pembayaran secara dalam talian yang memudahkan pemindahan dana antara bank.

Integrasi dengan sistem FPX membantu majikan membuat bayaran secara dalam talian terus dari portal e-Caruman dan aplikasi mudah alih tanpa apa-apa bayaran transaksi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, program itu selaras objektif KWSP untuk mengurangkan penggantungan kepada servis di kaunter, mempercepatkan transaksi mudah alih dan meningkatkan pengalaman semasa berurusan dengan KWSP.

Beliau berkata, majikan akan mendapati penggunaan sistem FPX menjadikan proses bayaran caruman lebih cepat dan selamat.

"Sejak ia diperkenalkan pada Januari 2013, kemudahan e-Caruman ini diterima baik oleh majikan dan sehingga September 2016, lebih dari 95 peratus majikan menggunakan kemudahan ini setiap bulan.

"Memandangkan mereka sudah selesa menggunakan e-Caruman, kami menggesa majikan untuk mengambil satu langkah lagi dengan membuat pembayaran menggunakan kemudahan sistem FPX yang terkandung dalam sistem e-Caruman," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Transformasi Bayaran Caruman KWSP di sini sebentar tadi.

Shahril menegaskan adalah penting bagi majikan untuk mula menggunakan kemudahan e-Caruman kerana bermula 1 Januari 2017 semua transaksi majikan dengan KWSP akan dilakukan secara dalam talian dan KWSP akan menghentikan pengedaran dan penggunaan Borang A (sistem manual untuk membuat bayaran).

Beliau berkata, majikan yang mempunyai kurang 10 pekerja juga boleh memantau akaun mereka melalui aplikasi mudah alih i-Akaun Majikan yang diperkenalkan pada April tahun ini.

Melalui aplikasi itu, majikan boleh menyemak maklumat pekerja selain merujuk rekod terdahulu berhubung caruman yang dikreditkan, Borang A dan pembayaran yang sudah dibuat. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA