Kuching Duathlon Tupong Jadi Acara Tahunan


KUCHING: Kuching Duathlon Tupong bakal dijadikan acara tahunan dalam usaha mencungkil bakat baharu dalam sukan yang menggabungkan acara larian dan berbasikal itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazruddin Abdul Rahman berkata, sukan tersebut amat popular di negeri lain terutama Semenanjung Malaysia dan tidak mustahil Sarawak akan menjadi tumpuan peminat duathlon pada masa akan datang.

Menurutnya, penganjuran sukan tersebut mampu menjadi daya tarikan pelancong kerana jika diadakan secara efisien dan konsisten, sudah pasti ada peserta dari luar negara akan turut mengambil bahagian.

"Sukan ini diadakan untuk mencungkil bakat baharu memandangkan pada masa sekarang bilangan masyarakat terlibat dalam larian dan berbasikal semakin meningkat," katanya pada sidang media Kuching Duathlon Tupong 2016 di sini, hari ini.

Menjelaskan mengenai Kuching Duathlon Tupong 2016 yang diadakan pada 23 Oktober, Fazruddin berkata, ia akan melibatkan larian sejauh 7km, berbasikal 40km dan sekali lagi larian 7km.

"Laluan untuk larian akan bermula di Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Bukit Siol, Kampung Lintang, Kampung Tupong dan berpatah balik ke Ibu Pejabat DBKU.

"Bagi laluan berbasikal pula akan bermula di Ibu Pejabat DBKU menuju ke FAC Matang Expressway dan berakhir di Ibu Pejabat DBKU," ujarnya.

Beliau menambah, dianggarkan sekitar 250 peserta akan terlibat dengan perlumbaan yang pertama kali diadakan di Kuching itu.

"Daripada jumlah ini, 30 peserta dari luar Kuching termasuk seorang pelumba Afrika Selatan," jelasnya.

Perlumbaan dibahagi kepada tiga kategori merangkumi lelaki terbuka, wanita terbuka dan relay terbuka.

Bagi kategori lelaki terbuka dan wanita, hadiah wang tunai RM1,000 ditawarkan kepada juara, RM800 untuk pemenang tempat kedua dan RM400 pemenang tempat ketiga.

Juara kategori relay terbuka pula bakal membawa pulang wang tunai RM1,200, tempat kedua RM900 dan RM500 untuk pemenang tempat ketiga.-Sarawak

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA