Kubur Bekas Presiden Poland Akan Digali Semula


WARSAW: Kubur bekas Presiden Poland yang mati dalam nahas pesawat pada 2010 akan digali semula untuk memeriksa mayatnya selepas dakwaan mengatakan nahas itu berpunca daripada letupan bom dalam pesawat.

Jarosław Kaczynski, adik kembar Lec Kaczynski yang juga pemimpin parti yang memerintah Poland berkata, mayat bekas presiden itu adalah antara yang pertama akan diperiksa.

Siasatan terhadap kejadian yang turut meragut nyawa 95 anggota perwakilan Poland itu, termasuk pemimpin kanan tentera, ketua bank pusat dan beberapa anggota Parlimen dilancarkan semula awal tahun ini.

Pendakwa raya berkata, mereka akan membuka semula keranda mangsa yang ditutup rapat di Russia dengan alasan, bedah siasat perlu dilakukan untuk mengetahui punca nahas.

Nahas itu adalah yang terburuk di Poland sejak Perang Dunia Kedua dan menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyatnya berhubung punca kejadian itu walaupun siasatan kerajaan sebelum ini memutuskan ia kesilapan juruterbang.

Kejadian berlaku ketika juruterbang cuba mendaratkan pesawat TU-154 buatan Soviet itu dalam kabus tebal di sebuah lapangan terbang yang jarang digunakan berhampiran Smolensk, barat Russia, untuk mengambil bahagian dalam upacara memperingati 22,000 tentera Poland yang dibunuh oleh polis rahsia Soviet pada 1940.

Russia enggan menyerahkan rangka pesawat itu kepada Poland.-Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA