PAS Tetap Tidak Sertai Bersih Walau Dirayu DAP


KUALA LUMPUR – PAS tidak akan berganjak daripada keputusan asalnya untuk tidak menyertai perhimpunan Bersih 19 November ini dan DAP perlu faham dengan pendirian parti Islam itu.

Menurut Ketua Penerangannya, Nasruddin Hassan, meskipun dirayu Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, namun keputusan telah dibuat dengan lebih awal dan semua pihak perlu menghormatinya.

“Dia (Lim Guan Eng) nak cakap apa pun cakaplah, kita tak kisah, sebab apa yang Datuk Takiyuddin dah cakap adalah keputusan parti, bukan keputusan peribadi.

“Jadi mereka semua perlu hormatlah,” katanya seperti yang dilaporkan BNBBC.my portal.

DAP ketika ini dilihat seolah-olah terus merayu ahli-ahli PAS supaya turut serta dalam perhimpunan Bersih 5.0 yang akan diadakan pada 19 November ini.

Ini kerana Guan Eng berkata, beliau berharap pihak yang sebelum ini pernah menyokong Bersih tetapi bertindak meninggalkan organisasi itu kembali semula kononnya untuk memperjuangkan pilihan raya umum yang bersih.

Namun sebelum ini Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menegaskan parti itu tidak akan menyertai perhimpunan Bersih 5.0 selepas mengambil kira Bersih mempunyai objektif tersendiri yang tidak senada dengan parti tersebut.

PAS sebelum ini juga tidak menyertai Bersih 4.0 yang sekali gus menyaksikan penurunan mendadak jumlah peserta perhimpunan itu khususnya dalam kalangan orang Melayu sebaliknya lebih banyak disertai kaum Cina dan penyokong DAP.

Tindakan PAS tidak lagi terlibat dalam perhimpunan itu juga menyebabkan siri jelajah Bersih 5.0 yang diadakan di seluruh negara sehingga kini tidak mendapat sambutan.

Tambah Nasruddin, PAS tidak akan membuang masa untuk membuat perbincangan kali kedua mengenai perkara tersebut.

Ia sekaligus menetapkan PAS memang tidak akan menyertai Bersih kali ini. - KLXpress

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA