KSN Mahu Perkhidmatan Awam Pastikan HSR Laksana Tepat Pada Masa


SINGAPURA, 17 Okt (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa mahu perkhidmatan awam Malaysia memastikan pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Singapura dan Malaysia menepati masa.

Ali juga mahu sektor awam yang terlibat secara langsung dalam projek tersebut berusaha gigih dalam menentukan kejayaan setiap proses pembangunannya.

"Paling penting, projek itu dilaksanakan dengan jayanya dan dapat beroperasi pada 2026," katanya kepada Bernama.

Memorandum Persefahaman (MoU) projek HSR antara Singapura dan Malaysia ditandatangani pada 19 Julai, 2016.

Beliau berkata, kedua-dua negara sedang berunding sebelum memuktamadkan perjanjian itu pada Disember ini.

Ali berada di Singapura baru-baru ini untuk menghadiri Program Sukan Perkhidmatan Awam ke-39 dan Seminar Bersama Kelapan Pemimpin Perkhidmatan Awam Singapura dan Malaysia.

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, sebelum ini bahawa HSR merupakan projek mega berpelaburan besar dan berjangka panjang, oleh itu, kelancaran pelaksanaannya adalah amat penting.

Pada Julai lepas, Lee berada di Malaysia untuk menyaksikan penandatanganan MoU HSR bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Najib dan saya bersetuju bagi pembangunan HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura pada tiga tahun lepas. Sejak itu, para pegawai kami bertungkus lumus melewati beberapa tempoh Ramadan dan Hari Raya untuk mencapai persetujuan membabitkan isu-isu penting.

"Kita perlu bekerjasama secara erat dalam banyak keputusan bersama serta isu (membabitkan) pelaksanaannya. Najib dan saya akan memberi sepenuh perhatian terhadapnya kerana kita mahu projek besar ini dilaksanakan dengan betul," katanya.

Projek HSR membabitkan landasan sepanjang 350km itu akan mengurangkan masa perjalanan kepada 90 minit antara kedua-dua bandar raya, dengan kelajuan lebih 300km/sejam.

Di Singapura, terminal HSR terletak di Jurong Timur, manakala di Malaysia ia mempunyai tujuh stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.

Kereta api pertama dijangka memulakan operasi pada 2026.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA