Konsep Vendor Kak Melur Mendapat Sambutan

KUCHING: Konsep vendor menjadi pilihan usahawan muda Sharifah Haniffah Wan Walid memperkenalkan perniagaan pelbagai variasi makanan kepada pelanggan.

Menurut Sharifah Haniffah 28, beliau telah didedah dalam dunia perniagaan sejak berada di darjah tiga ketika membantu orang tuanya.

Kini beliau berkecimpung sepenuh masa dalam perniagaan ini dan memiliki dua lokasi perniagaan yang didaftar atas nama 'Melur Kitchen'.

"Lokasi perniagaan saya terletak di Jalan Astana berhadapan Sekolah Encik Buyong Kuching," katanya kepada Sarawakiana.



Menurut beliau, pelbagai menu kampung sehingga ke western food juga menjadi produk perniagaan yang menjadi kegemaran pelanggan beliau.

"Antaranya ialah Zinger burger, Linut sambal ngesit, Bandung gula apong, Bingka Viral, Ais cendol ribut, Saguhati, Spaghetti hipsturr, Cottage pie, Nasik goreng ikan long masin, Churros, Mee jawa dan Kuih melaka inti tumpah.

"Menu berkenaan memang mendapat sambutan hangat pelanggan yang sering mengunjungi gerai," ujarnya.



Di samping itu Sharifah turut merasa bersyukur memandangkan kerajaan sudah menyediakan platform untuk memperkenalkan perniagaan.

"Platform seperti internet banyak membantu dari segi mempromosi perniagaan seperti laman sosial Facebook, Instagram dan sebagainya.

"Mempromosi perniagaan melalui online telah mendapat respon yang begitu baik daripada pelanggan," jelasnya.



Sharifah turut menggesa agar anak muda hari ini tidak membuang masa ke arah negatif dan perlu merebut peluang untuk menjadikan perniagaan sebagai karier tetap mereka.

"Sampai bila anak muda harus bergantung kepada orang tua sahaja sedangkan anak muda mampu berfikir cara bernas bagaimana hendak mencari pendapatan sendiri.

"Banyak lagi perniagaan yang boleh diceburi asalkan memiliki kekentalan untuk memajukan diri," katanya yang lebih mesra dipanggil Kak Melur.



Sharifah turut berpendapat agar kerajaan mengambil inisiatif untuk menyediakan tapak seperti Mini Cafe agar perniagaan sebegini akan terus berkembang.- Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA