KKM Kena Tindakan Keatas 25 Kilang Ais


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan 225 pemeriksaan terhadap kilang ais sepanjang lapan bulan tahun ini dengan 25 kilang dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana tidak mempunyai lesen diperakui KKM.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagi tahun lalu, pihaknya membuat 304 pemeriksaan dan 17 kilang ais diambil tindakan penguatkuasaan.

"Mengikut Peraturan 394A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, semua kilang ais perlu dilesenkan KKM dan mana-mana kilang berkenaan yang gagal berbuat demikian akan dikenakan tindakan penguatkuasaan.

"Dalam hal ini, pemilik kilang ais yang beroperasi tanpa lesen KKM boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

"Setakat ini, terdapat 118 kilang ais berlesen dengan KKM di seluruh negara, manakala 21 kilang ais masih dalam proses kelulusan lesen," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam blognya, kpkesihatan.com hari ini.

Beliau mengulas laporan dua akhbar yang mendakwa ais dijual di pasaran adalah kotor, selain dikhuatiri menjejaskan kesihatan pengguna.

Dr Noor Hisham berkata, KKM sentiasa menjalankan pemantauan ke atas kilang ais yang beroperasi di negara ini bagi memastikan pengilangnya mematuhi peraturan ditetapkan.

Katanya, ia termasuk peraturan seperti tiada haiwan di premis, penggunaan peralatan bersih, sumber air dan amalan pengendalian ais yang bersih serta pengendali makanan mendapat suntikan anti-tifoid.

"Malah, sekiranya pengguna mempunyai maklumat kilang ais yang beroperasi dalam keadaan kotor, 
mereka boleh membuat laporan dengan maklumat lebih terperinci termasuk lokasi dan nama kilang.
"Ia sekali gus dapat memastikan kilang terbabit mengikut piawaian ditetapkan, seterusnya menjamin keselamatan pengguna.

"Aduan itu boleh dibuat kepada KKM menerusi laman web moh.spab.gov.my; Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, www.facebook.com/bkkmhq; Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) serta Jabatan Kesihatan Negeri (JKN)," katanya.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA