Kita tidak boleh bersaing dengan rakyat Malaysia


Tulisan asal oleh :
Andre Carrel, Terrace Standard, 9 Oktober 2016, dikemaskini 05:25

Saya, sama seperti orang lain, terkejut kerana ia memerlukan tiga menteri kabinet persekutuan untuk terbang dari Ottawa ke Vancouver lewat petang 20 September untuk membuat pengumuman bahawa kerajaan persekutuan telah meluluskan projek Pacific NorthWest LNG.

Mungkin itulah bagaimana politik berfungsi, tetapi saya fikir pengumuman ini dengan mudah boleh dibuat di Ottawa.

Tetapi apa yang menimbulkan rasa ingin tahu saya lebih daripada lawatan peluang bergambar/ ‘selfie’ menteri ini adalah identiti pemaju itu: siapakah Petronas, syarikat yang mengetuai projek ini?

Petronas adalah syarikat minyak dan gas gergasi, sebuah syarikat milik negara Malaysia yang dicipta satu tahun sebelum kita mencipta Petro-Canada. Pendapatan tahunannya melebihi $130 bilion, hampir separuh daripada pendapatan tahunan yang kerajaan persekutuan kita kumpul.

Wall Street Journal melaporkan (18 Januari 2016) bahawa "Petronas adalah sumber hasil terbesar kerajaan Malaysia, meliputi sebanyak satu pertiga daripada bajet tahunan - walaupun selepas pemotongan subsidi dan pengenalan cukai baru untuk mempelbagaikan sumber pendapatan.” Rakyat Kanada tidak perlu bimbang tentang masalah seperti itu kerana kerajaan kita menswastakan Petro-Canada, perbadanan tenaga ‘crown’ kita.

Malaysia, jumlah penduduk sebanyak 31 juta, adalah sebuah persekutuan yang mana tadbir urusnya adalah berdasarkan, sama seperti Kanada, pada sistem parlimen British. Ia mempunyai Dewan Rakyat dan Senat, kabinetnya diketuai oleh Perdana Menteri, ketua upacara negara adalah raja mereka, dan sistem undang-undang, sama seperti kita, adalah berdasarkan kepada ‘common law’ British. Sejarah abad ke-19 dan awal abad ke-20 Malaysia adalah lebih bermasalah dan ganas daripada kita, dan ia mencapai kemerdekaan penuh pada tahun 1957 semasa Kanada telah menghampiri seratus tahun kemerdekaannya yang pertama.

Bagaimana Malaysia boleh memiliki gergasi korporat seperti Petronas? Walaupun negara ini masih diklasifikasikan sebagai sebuah ekonomi baru muncul, Laporan Indeks Daya Saing Global 2015-16 Forum Ekonomi Dunia (WEF) menunjukkan bahawa Malaysia menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding Kanada dalam bidang persekitaran makroekonomi, kecekapan pasaran barangan, dan kecanggihan perniagaan dan inovasi.

Data WEF ini menunjukkan bahawa hari ini Malaysia menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding Kanada dalam kapasitinya untuk inovasi dan dalam perbelanjaan syarikat untuk penyelidikan dan pembangunan. Lebih memalukan lagi, Malaysia juga merekodkan tabungan negara kasar yang lebih baik dan hutang kerajaan yang lebih rendah sebagai peratusan KDNK berbanding dengan Kanada!

Daripada terbang merentasi negara untuk beberapa peluang bergambar dan membuat janji-janji berbilion dolar, ketiga-tiga menteri tersebut sepatutnya terbang ke Malaysia.

Mereka sepatutnya pergi ke sana untuk belajar bagaimana sebuah negara yang saiznya serupa dengan kita, yang ditadbir oleh Parlimen dan sistem ‘common law’ yang sama seperti kita, telah berjaya, selepas hanya 60 tahun merdeka, untuk mengatasi kita dalam simpanan negara dan hutang umum sementara pada masa yang sama membangunkan sebuah syarikat yang menghasilkan pendapatan untuk menampung satu pertiga daripada bajet kerajaan negara.

Kita tidak boleh menguasai pasaran gas asli global. Kita bukanlah sebuah kuasa besar dalam gas asli. Dua puluh negara melebihi rizab gas asli Kanada yang telah terbukti.

Rizab gas asli Rusia yang telah terbukti adalah 20 kali ganda daripada apa yang kita ada! Kita tidak boleh bersaing dengan meningkatkan kualiti gas asli kita untuk menjadikannya produk yang bermutu. Kita hanya boleh bersaing dengan mengurangkan harga. Syarikat negara Malaysia mempunyai kelebihan itu. Ia boleh mencari pasaran global untuk mendapatkan harga tenaga yang paling rendah untuk memberi industri pembuatannya kelebihan untuk berdaya saing.

Projek LNG, jika ia diteruskan, bermakna kos tambahan bagi warga negara Kanada dan industri mereka jika kita mahu memenuhi komitmen pelepasan karbon kita. Ia akan bermakna cukai karbon yang lebih tinggi dan juga kos lain.

Kita mesti menghentikan fokus kita dalam menjajakan sumber yang tidak boleh diperbaharui di atas janji peluang pekerjaan jangka pendek dan impian berbilion dolar. Kita perlu belajar daripada Malaysia bagaimana untuk membangunkan dan melaksanakan pelan negara untuk memberi manfaat kepada masyarakat untuk jangka masa yang panjang.

Kita mesti menyesuaikan pembangunan ekonomi dengan realiti persekitaran dan mengimbangi kemajuan ekonomi dengan kesejahteraan sosial, pendidikan, dan kestabilan politik.


Link asal artikel:
http://www.terracestandard.com/opinion/396366771.html?mobile=true

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA