Khairuddin Tinggalkan PPBM


PETALING JAYA: Selepas lebih sebulan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan parti yang diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Menurut Khairuddin, keputusan itu terpaksa dibuat sebagai persediaannya untuk menghadapi beberapa kes di mahkamah.

"Saya perlu memberi fokus secara sepenuh masa bagi menghadapi beberapa perbicaraan penting untuk melawan segala bentuk kemungkaran korupsi dan salah laku institusi-institusi kerajaan.

"Segala jemputan dan program ceramah di seluruh negara insyaAllah saya akan hadiri atas kapasiti peribadi dan bukan di atas platform ahli Bersatu (PPBM) lagi," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Awal Ogos lalu mStar Online pernah mengeluarkan kenyataan Khairuddin berhubung pendiriannya untuk tidak menyertai PPBM yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden.

Bagaimanapun Khairuddin memaklumkan bahawa beliau mengambil keputusan menyertai PPBM pada September lalu sebagai tanda sokongan kepada Dr Mahathir yang bertindak sebagai pengerusi parti berkenaan.

"Dalam masa yang sama saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua sahabat yang berada bersama parti Bersatu dan berharap mereka menggalas tanggungjawab secara beramanah.

"Secara jujur dan ikhlas semua pemimpin dan ahli parti Bersatu tidak boleh berpuak-puak dan jangan sama sekali meniru budaya serta amalan buruk Umno ke dalam Bersatu," kata Khairuddin lagi.- Mstar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA