Kes Pendaki Terkandas Di Gunung Santubong Membimbangkan



Kuching : Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak melahirkan kebimbangan berikutan peningkatan kes pendaki terkandas di Gunung Santubong sejak kebelakangan ini.

Pengarah JBPM Sarawak Nor Hisham Mohamad berkata dari September hingga bulan ini sejumlah lima operasi menyelamat melibatkan 30 mangsa telah dilakukan di pelbagai tahap kesukaran gunung itu.

Beliau berkata rata-rata kes berlaku akibat pendaki memandang rendah tahap kesukaran gunung itu.

"Insiden berlaku kerana orang ramai ambil mudah tahap kesukaran mendaki gunung tersebut. Gunung tersebut paling sukar didaki untuk perjalanan sehari kerana mempunyai banyak bahagian menegak yang mencabar.

Nasihat saya kepada pendaki pastikan mereka cergas, pengiring pula pastikan mereka dua kali ganda cergas bagi mengelak kesan psikologi kepada pendaki yang diiringi jika berlaku sebarang insiden," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan sebuah bot penyelamat dan enjin kepada JBPM Sarawak dari Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar SEDC Soedirman Aini yang menyempurnakan majlis tersebut.

Nor Hisham berkata bagi mengatasi masalah insiden di Gunung Santubong, pihaknya akan berhubung dengan Jabatan Hutan Sarawak bagi mewajibkan pendaki mendaftar dan seterusnya JBPM dimaklumkan sebarang aktiviti pendakian.

Sementara itu, Nor Hisham berkata ketika ini JBPM Sarawak mempunyai 55 aset kenderaan di air pelbagai jenis sebagai persediaan menghadapi musim banjir.

Beliau berkata berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia negeri ini dijangka tidak mengalami fenomena La Nina dan hanya akan mengalami hujan dan banjir sama seperti yang pernah dialami sebelum ini.

"Biarpun begitu JBPM Sarawak sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk banjir kilat seperti yang berlaku di Serian dan Siburan tahun lalu," katanya.

--BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA