Kes Pembunuhan Bill Kayong Disebut Semula 15 Nov


MIRI: Mahkamah Majistret Miri menetapkan 15 November bagi sebutan semula kes tiga tertuduh yang didakwa membunuh Setiausaha PKR Bill Kayong pada Jun tahun ini.

Majistret Zuraini Ali Musa membenarkan kes itu disebut semula selepas Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Izzat Wan Abdullah memaklumkan kepada mahkamah bahawa semua laporan yang diperlukan, termasuk laporan kimia, telahpun diterima.

Wan Mohd Izzat berkata ketika ini, pihak pendakwaan menunggu arahan pengarah pendakwaan daripada Jabatan Peguam Negara untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Ketiga-tiga tertuduh iaitu Mohamad Fitri Pauzi, 29, Lie Chang Loong, 39, dan Chin Wui Chung, 50, mengangguk faham selepas dimaklumkan oleh jurubahasa mahkamah bahawa kes itu akan disebut semula pada 15 November.

Fitri, seorang pengawal kelab malam atau 'bouncer', didakwa pada 15 Julai atas pembunuhan Bill Kayong di persimpangan lampu isyarat berhampiran E-Mart Supermarket, Jalan Miri-Bintulu pada 8.20 pagi, 21 Jun.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Lie, pemilik pub, juga didakwa pada 15 Julai, bersubahat dengan Mohamad Fitri, bersama-sama dengan Chin dan Datuk Lee Chee Kiang, 45, yang masih bebas, mengikut Seksyen 109 dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Di luar mahkamah, Abun Sui, peguam pemerhati bagi keluarga Bill Kayong, berkata beliau telah menerima surat jawapan daripada pesuruhjaya tinggi Australia di Kuala Lumpur berhubung lokasi semasa dan kewarganegaraan Datuk Lee Chee Kiang yang ditulis pada 22 Sept 2016.

Beliau turut menunjukkan kepada media kandungan surat daripada Suruhanjaya Tinggi Australia bertarikh 29 Sept 2016 yang dialamatkan kepada Abun Sui Anyit and Co Advocates dan ditandatangani oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia Rod Smith.

Surat itu menyatakan bahawa suruhanjaya berkenaan tidak boleh memberi sebarang maklumat seperti yang dipohon Abun berikutan Akta Kerahsiaan Australia 1988.

"Kami masih berharap suspek dapat ditahan untuk dibicarakan di sini dengan kerjasama kerajaan dan kerajaan atau menerusi usahasama polis Malaysia dan Interpol," katanya. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA