Kes MH370: Kerajaan, MAS, DCA Kekal Selaku Defendan


PUTRAJAYA - Lima sekeluarga berjaya menamakan Kerajaan Malaysia dan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) sebagai defendan bersama-sama Malaysia Airlines System Berhad (MAS) dalam tuntutan saman berhubung kematian tiga anggota keluarga mereka sewaktu menaiki pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014.

Demikian ketetapan Mahkamah Rayuan hari ini ketika membenarkan sebahagian rayuan lima sekeluarga itu agar Kerajaan Malaysia dan DCA dimasukkan semula sebagai defendan dalam tuntutan saman berkenaan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd. Zawawi Salleh yang bersidang bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli bagaimanapun menolak rayuan mereka agar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut dinamakan sebagai defendan.

Dua beradik Tan Wei Hong, 15, Tan Wei Jie, 13, dan tiga yang lain memfailkan saman untuk menuntut ganti rugi atas kehilangan ibu bapa mereka, Tan Ah Meng, 46, dan Chuang Hsiu Ling@Cindy Chuang, 45, masing-masing merupakan pengarah syarikat kejuruteraan dan pembinaan serta anak sulung pasangan itu, Tan Wei Chew, 19.

Dalam tuntutan saman itu, mereka menamakan Kerajaan Malaysia, MAS, Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Panglima TUDM dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) sebagai defendan-defendan.

Perayu-perayu diwakili oleh peguam Sangeet Kaur Deo manakala pihak kerajaan, DCA dan TUDM diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke. - UTUSAN ONLINE

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA