Kes Buli: Gantung Sekolah Setahun Ikut Kategori Buli


KUCHING: Tindakan gantung persekolahan selama setahun kepada pembuli perlu mengambil kira tahap buli yang dilakukan, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Menurutnya, gantung persekolahan selama setahun akan menyebabkan pelajar yang melakukan buli tercicir daripada sekolah.

"Tempoh penggantungan persekolahan hendaklah mengambil kira jenis dan kategori buli.

"Sudah pasti banyak yang ketinggalan dalam sekolah dan mungkin mereka akan bersama dengan pelajar junior," katanya menerusi aplikasi Whatsapp.

Bagaimanapun beliau berkata, pergantungan sekolah setahun adalah lebih baik berbanding dibuang sekolah.

Ahad lepas, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dipetik sebagai berkata, kementeriannya mempertimbangkan cada­ngan untuk mengenakan tindakan gantung persekolahan selama setahun kepada pembuli yang didapati melakukan kesalahan serius sebagai alternatif hukuman buang sekolah.

Menurutnya, pelajar yang digantung itu akan dilibatkan dengan kerja-kerja kebajikan atau dimasukkan ke pusat pemulihan dalam tempoh berkenaan sebagai syarat untuk memulakan persekolahan semula.

“Perkara ini (buli) tidak boleh dibiarkan dengan kes buli yang banyak dan perlu ada tindakan, gantung sekolah. Walaupun melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka kena ambil SPM tahun depan.

“Ini antara perkara baharu yang saya dan beberapa individu di Kementerian Pendidikan merasakan perlu dimasukkan dalam peraturan disiplin di sekolah yang melibatkan kes buli,” ujarnya.

Mahdzir menjelaskan, pihaknya perlu mencari alternatif bentuk hukuman kepada pembuli yang melakukan ke­salahan serius berikutan terdapatnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kurang bersetuju dengan tindakan buang sekolah kepada pelajar terbabit.

“Dalam tempoh sebulan ini, kita akan nilai setiap maklum balas dan mendapatkan cadangan daripada orang ramai tentang hukuman yang harus dikenakan kepada pembuli ini.

“Jika tiada cadangan hukuman yang lebih baik daripada tindakan gantung persekolahan selama setahun, kita jangka akan laksanakan (hukuman gantung sekolah) berkuat kuasa pada awal tahun depan,” katanya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA