Kerani Minta Dibicara Atas Tuduhan Seleweng RM914,300

Foto Utusan Borneo

KUCHING: Seorang kerani wanita yang dilantik secara kontrak meminta dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas didakwa menyeleweng wang milik kelab sukan dan rekreasi polis melibatkan jumlah sebanyak RM914,300.

Tertuduh Winnie Irene Michael Entawan, 62, mengaku tidak bersalah di hadapan tiga hakim dalam tiga mahkamah berasingan iaitu Timothy Finlayson Joel, Afidah Abdul Rahman dan Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad.

15 November depan ditetapkan untuk menyebut semula kesemua kes dan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM500,000 untuk semua dakwaaan sebagai jaminan dia mesti menetap di Kuching serta mendapat pendapatan tetap.

Barisan hakim turut mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan sekali dalam tempoh dua minggu sementara menunggu kes dibicarakan.

Winnie didakwa di bawah Seksyen 467 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan dikenakan denda.

Kesemua pertuduhan disertai tuduhan alternatif di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 467 kanun sama yang mengenakan hukuman sama jika disabit salah.

Tertuduh kelihatan agak menggeletar sebaik memasuki kamar perbicaraan mahkamah dan hadir di mahkamah ditemani ahli keluarga.

Tertuduh didakwa membuat tuntutan palsu untuk ‘pembayaran balik’ yang didepositkan ke dalam akaunnya.

Setiap pertuduhan, diwakili cek yang didakwa dipalsukan ditambah dengan perkataan dan angka, yang dokumen kononnya membenarkannya menerima wang tambahan daripada jumlah asal dibayar.

Difahamkan Winnie bekerja dengan kelab itu secara kontrak sejak 1997.

Kesalahan dilaporkan berlaku di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Jalan Badruddin antara 2011 dan 2014.

Sementara itu, pertuduhan alternatif dibaca mengatakan tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Jalan Tunku Abdul Rahman pada tempoh sama.

Tertuduh tidak diwakili peguam ketika kesnya disebut semalam.

Haresh Prakash bertindak sebagai DPP manakala Jong An Nee selaku pendakwa raya.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA