Kerajaan utamakan masalah infrastruktur luar bandar

PANTAU: Teng (tiga kanan) memantau aktiviti gotong-royong menaik taraf jalan di kawasan Kesa Baron di Sarikei semalam.
SARIKEI: Kerajaan memberi keutamaan menyelesaikan masalah infrastruktur seperti projek bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya di kawasan luar bandar di seluruh negeri ini.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Teng Ung Woo berkata usaha itu amat penting selari dengan polisi pembangunan mempercepat proses penyediaan kemudahan asas di luar bandar.

“Dengan adanya hubungan baik antara kerajaan negeri dan persekutuan serta penstrukturan semula autonomi kerajaan maka lebih mudah peruntukan pembangunan disalurkan.

“Justeru, kita menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sangat tegas dengan keutamaan pembangunan kawasan luar bandar,” katanya ketika tinjauan ke tapak pembinaan Jalan Kesa Baron, dekat sini semalam.

Kerja-kerja pembinaan bagi menaik taraf jalan kampung diusahakan penduduk setempat secara gotong-royong melalui peruntukan pembinaan disumbangkan kerajaan.

Menurut Teng, kerajaan sedar masyarakat di luar bandar masih banyak memerlukan suntikan pembangunan dalam pelbagai aspek.

Beliau menggesa masyarakat di Parlimen Sarikei yang mempunyai masalah dan aduan agar menggunakan saluran betul memastikan setiap penyampaian tersebut mendapat maklum balas yang sewajarnya.

“Langkah ini amat penting bagi memastikan pihak berkaitan mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan tersebut untuk dipertimbangkan.

“Melalui kerjasama sistematik, tepat dan betul ini kita yakin segala masalah dapat diatasi dengan baik,” katanya. - BP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA