Kerajaan Urus Kewangan Negara Secara Berhemah Dan Bertanggungjawab - Najib


BANGKOK, 10 Okt (Bernama) -- Kerajaan mahu menghulurkan sebanyak mungkin bantuan dan manfaat untuk rakyat dalam Bajet 2017 namun pada masa sama mengurus kewangan negara secara bertanggungjawab dan berhemah, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu kreatif dalam menangani kekangan yang dihadapinya untuk membolehkannya terus membantu rakyat.

"Terdapat begitu banyak perkara yang perlu kita lakukan namun menyedari bahawa ia perlu dalam konteks kemampuan kita dan kita juga perlu mengawal atau sekurang-kurangnya menguruskan hutang dan defisit fiskal secara berhemah, katanya kepada wartawan Malaysia Isnin.

Beliau ditemui sleepas menghadiri Sidang Kemuncak kedua Dialog Kerjasama Asia di Kementerian Luar di sini yang dirasmikan Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha.

Najib juga mengingatkan negara berdepan senario harga komoditi yang rendah secara menyeluruh sementara beberapa usaha pemulihan di negara-negara maju masih tidak begitu kuat.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata beberapa langkah ekonomi yang dilakukan negara-negara maju telah meninggalkan kesan kepada ekonomi yang baru muncul termasuk Malaysia.

"Itu adalah beberapa latar belakang yang sedang kita hadapi dan faktor-faktor ini adalah di luar kawalan kita," katanya sambil menambah, dalam menyediakan ucapannya dalam Bajet 2017, beliau perlu melihat kepada unjuran kewangan dan juga prospek ekonomi bagi 2017 dan seterusnya.

Menurut Najib, beliau perlu melihat pencapaian kerajaan dari segi matlamat kewangan dan parameter yang telah ditetapkan bagi 2016.

Kerajaan, kata beliau, juga perlu meneliti cabaran-cabaran yang dihadapi.

Perdana Menteri berkata , beliau juga akan mengadakan sesi pertemuan dengan para menteri dan pegawai untuk melihat aspirasi bajet mereka dan sama ada kerajaan mampu memenuhinya.

Najib berkata beliau juga akan meneliti keperluan sektor daripada pelbagai kementerian.

Selain berunding dengan para menteri dan pegawai-pegawai dalam menyediakan Bajet 2017, Najib berkata beliau juga akan meneliti pelbagai cadangan yang disuarakan rakyat termasuk daripada dunia dalam talian.

Ketika ditanya bagaimana dengan persediaan sebelum membentangkan Bajet 2017, beliau berkata setakat ini persediaan itu berjalan lancar.

"Pendekatan saya dalam menyediakan bajet memerlukan kita melihat gambaran makro yang lebih luas, melihat kepada unjuran kewangan dan juga prospek ekonomi terutama bagi 2017 dan seterusnya," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA