Kerajaan Sedia Aktiviti Bermanfaat Bentuk Pemimpin Berkaliber


KUCHING: Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan aktiviti bermanfaat kepada golongan belia demi membentuk pemimpin masa depan yang berkaliber.

Menteri Muda Pembangunan Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia penting dalam memastikan golongan belia tidak terjerumus dalam aktiviti negatif dan masalah sosial.

“Sebab itulah menjadi satu tanggjungjawab kerajaan baik di peringkat pusat mahupun negeri melalui agensi dan jabatan berkaitan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sentiasa membimbing anak-anak muda ke arah yang betul.

“Justeru, kita perlu mengawasi setiap aktiviti mereka dan mengaturkan program tertentu untuk belia kita agar mereka ini sentiasa berada di landasan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pentauliahan Pingat Gangsa dan Perak Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda dan Majlis Penghargaan Projek Angkat dan Upaya di Dewan Serba Guna Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Negeri di sini malam kelmarin.

Abdul Karim memberitahu, sekiranya tanggungjawab itu diabaikan maka ia menjadi satu kesalahan dan kegagalan dalam membentuk pemimpin masa depan yang berkualiti.

“Kita harus menganggap bahawa kita adalah ibu bapa anak-anak muda itu sendiri supaya kita melakukan tanggungjawab ini dengan sepenuhnya,” tambahnya.

Pada masa sama beliau menyeru pemimpin belia turut aktif dalam menganjurkan program dan aktiviti untuk golongan itu.

“Oleh itu, marilah kita terus bersama-sama membentuk dan merancang pelbagai program untuk anak-anak muda kita demi masa depan negara kita,” ujarnya.

Pada majlis itu, Abdul Karim menyampaikan pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (perak) dan (gangsa).

Selain itu, beliau turut menyampaikan anugerah khas kepada Pejabat Belia dan Sukan Sri Aman dan Sekolah Menengah Kebangsaan Melugu, Sri Aman.

Hadir sama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak Abdul Haris Ishak dan tetamu kehormat lain. -UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA