Kerajaan Prihatin Rungutan Pemilik Taska


KUCHING: Rungutan pengusaha taska mengenai perlaksanaan kadar gaji minimum akan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi untuk mencari jalan penyelesaian terbaik menurut Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Hajah Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Katanya, penetapan kadar gaji minimun telah dimuktamadkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada Konvensyen Buruh Antarabangsa bagi menambah baik dasar perburuhan negara khususnya kesejahteraan dan kebaikan golongan pekerja.

“Saya memahami situasi ini dan akan membawa perkara ini untuk dibincangkan di peringkat yang lebih tinggi agar pendidikan awal kanak-kanak dapat disediakan dengan suasana dan prasarana yang terbaik,” kata beliau ketika sesi lawatan ke Taska Qaseh Laila, Jalan Ong Tiang Swee di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, kita mahu mewujudkan keadaan yang adil bagi pengusaha, pengasuh dan ibu bapa kerana pengusaha merupakan pihak yang sangat penting.

“Pendidikan awal kanak-kanak adalah sangat penting kerana ia akan membentuk personaliti dan menentukan masa depan mereka.

"Oleh itu, adalah penting untuk kita mencari jalan terbaik bagi pihak pengusaha, pengasuh dan ibu bapa kerana kita tidak mahu dengan penguatkuasaan polisi dan undang-undang sebegini, pengusaha taska terpaksa gulung tikar,”ujarnya.- Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA