Kerajaan Pertimbang Tambah Bajet Sukan Tahun Hadapan - Najib


KUALA LUMPUR: Kerajaan menimbang untuk menambah peruntukan bagi sukan dalam Bajet 2017 supaya pembangunan bidang itu dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kejayaan kontinjen Olimpik dan Paralimpik Rio 2016 menjadi inspirasi kepada kerajaan untuk memastikan kejayaan itu terus diulangi pada masa akan datang.

"Saya rasa pelaburan sukan juga mampu memberi pulangan yang baik kepada negara. Saya dalam persediaan menyiapkan bajet (dalam) beberapa minggu lagi, saya tidak akan lupakan bajet tambahan untuk sukan.

"Kita mesti jadikan kejayaan kontinjen Olimpik dan Paralimpik kita sebagai satu batu loncatan yang akan membawa kita kepada kejayaan berterusan," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Majlis Sukan Negara di sini, malam ini.

Beliau berkata usaha bersepadu perlu dilakukan untuk memastikan Olimpik Rio menjadi penggalak atlet supayan yakin mencapai kejayaan jika mereka memberi tumpuan penuh, merancang secara gigih dan sistematik selain mengguna pakai amalan sains sukan terkini.

Dalam pada itu, Najib menekankan bahawa ekosistem bidang sukan yang meliputi semua peringkat juga perlu diberikan perhatian sama seperti atlet.

Beliau berkata insan yang berada di belakang kejayaan seseorang atlet harus diberikan perhatian khususnya ahli keluarga, jurulatih dan persatuan sukan.

"Seluruh ekosistem itu siapa...ibu bapa yang sokong anak beri mereka semangat untuk berjaya, persatuan sukan, ini yang dikatakan keseluruhan ekosistem termasuk badan korporat yang beri sokongan,"jelas beliau.

Pada majlis itu, Najib menyampaikan SHAKAM berjumlah RM3.42 juta kepada pemenang pingat Paralimpik dan RM2.9 juta kepada pemenang pingat Olimpik Rio.

Pada kejohanan Paralimpik Rio, Malaysia meraih tiga emas dan satu gangsa selain empat perak dan satu gangsa pada Olimpik Rio.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA