Kerajaan pertimbang masuk projek Pantai Tusan dalam RMK11


MIRI: Kerajaan mempertimbang memasukkan projek pembangunan kawasan Pantai Tusan di Miri dalam separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dengan peruntukan RM5 juta bagi fasa pertama.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata peruntukan RM5 juta itu bagi membangunkan kemudahan infrastruktur di Pantai Tusan, tidak termasuk bekalan air dan elektrik.

Katanya beliau akan berunding dengan Kementerian Kemudahan Awam bagi melengkapkan kemudahan bekalan air dan elektrik di kawasan itu secara berperingkat-peringkat.

“Kawasan ini amat berpotensi untuk dibangunkan dengan keunikan dan keindahan alam semula jadinya yang tidak terdapat di kawasan lain seperti landskap batu menyerupai kuda minum air, selain kejadian air mata biru berjaya menarik pengunjung,” katanya sempena lawatan ke Pantai Tusan di sini kelmarin.

Abang Johari memberitahu, kawasan itu menjadi satu lagi tarikan pelancongan selain Pantai Tanjung Bungai, Bakam Point dan Taman Negara Niah di Sibuti.

“Empat kawasan itu menjadi koridor pelancongan selepas dibangunkan dengan Miri menjadi pintu masuk di kawasan utara sebagai destinasi pelancongan popular di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga mengeluarkan kemudahan visa ketibaan di Miri dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, CIQ Sungai Tujuh menarik lebih ramai pelancong menerusi penerbangan dari China ke Miri mulai Disember.

Terdahulu, pada majlis berasingan beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Permy 3 Motocross Challenge 2016 di sini.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan melibatkan lebih 50 peserta dari Sarawak, Sabah dan Brunei Darussalam.

Cabaran Motocross turut diadakan di Kota Kinabalu Industrial Park, Sepangar, Sabah pada 10 dan 11 Disember akan datang anjuran Penampang Motorsport Club dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan Persatuan Automobil Malaysia. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA