Kerajaan Negeri Mungkin Terlibat Memilih Presiden FAS



KUCHING: Sekiranya Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) masih gagal mencari presiden, kerajaan negeri berkemungkinan akan terlibat dalam memilih individu untuk mengisi jawatan 'nombor satu' itu.

Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kekosongan jawatan itu perlu segera diisi untuk memastikan FAS dapat diterajui dengan baik.

Memetik laporan Utusan Borneo, beliau menjelaskan, memegang jawatan tersebut merupakan tanggungjawab besar dan berat menyebabkan ada kalangan calon menolak.

"Bagaimanapun, kalau perkara ini tidak dapat diselesaikan, kemungkinan besar kerajaan negeri terpaksa berunding untuk mencari siapa yang patut diletak untuk menerajui FAS supaya ia dapat berjalan.

"Ini kerana kita tidak mahu membiarkan badan seperti itu hanya diterajui timbalan presiden sahaja...ia mesti ada presidennya," katanya.

Mengulas agar Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menerajui FAS seperti pasukan lain di Semenanjung Malaysia yang diketuai pemimpin negeri masing-masing, Karim berkata, pihaknya juga akan membincangkan mengenainya.

"Memang sebaiknya Ketua Menteri atau pemimpin negeri yang menjaga hal ehwal badan bola sepak negeri tetapi kami akan membincangkan mengenai perkara ini terlebih dahulu," ujarnya.

FAS kini tanpa presiden selepas tiada calon yang berminat dengan jawatan itu dalam mesyuarat agung persatuan tersebut pada 17 September lalu ekoran pengunduran Datu Sudarsono Osman atas alasan mempunyai banyak komitmen lain.

Sementara itu, beliau menegaskan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar membantu FAS dalam meringankan kos.

Katanya, FAM patut melihat secara berlainan antara pasukan bola sepak Sarawak dan Sabah dengan Semenanjung atas faktor jarak kerana untuk bertanding, pasukan dari kedua-dua negeri ini perlu keluar dengan menggunakan kapal terbang.

Keadaan itu menyebabkan kos pengendalian badan bola sepak kedua-dua negeri sangat tinggi.

"Kalau ada 14 negeri bertanding bermakna 13 kali pasukan Sarawak dan Sabah terpaksa terbang ke Semenanjung walhal negeri lain hanya perlu terbang dua kali sahaja iaitu ke Sarawak dan Sabah di mana selainya mereka hanya menggunakan bas.

"Sebab itulah kos untuk menguruskan FAS khususnya sangat mahal iaitu lebih sejuta sebulan...takkan Sarawak sahaja perlu menanggung semua kos ini.

"Maka, FAM harus membantu FAS termasuk pasukan Sabah di mana kalau FAM tidak memberi perkiraan dalam hal ini, bagi saya kita perlu melihat semula kedudukan kita di dalam bola sepak Malaysia," jelasnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA