Kerajaan Cadang Kumpul Maklumat Hospital Berusia Elak Tragedi


KUCHING: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pakar forensik negeri bercadang mengumpul maklumat terperinci daripada Kementerian Kesihatan berhubung bangunan hospital sudah berusia di negeri ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, untuk tujuan itu jawatankuasa dibentuk bertujuan memain peranan sebagai badan menyiasat dan membuat rekomendasi ke atas hospital itu.

“Terdapat lebih kurang 40 hingga 48 hospital seluruh Malaysia dibina pada zaman British dahulu, ia sudah lama dan walaupun hospital itu sudah dinaik taraf tetapi masih tidak dapat sepenuhnya memenuhi kehendak bomba.

“Manakala di Sarawak kita akan mendapatkan data mengenai jumlah hospital berusia di negeri ini daripada Kementerian Kesihatan yang mempunyai data tersebut,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Nur Sejahtera Belia Tupong, di Dewan Serbaguna Kampung Pinang Jawa, di sini semalam.

Tambah Ahli Parlimen Petra Jaya itu, sekiranya setiap hospital lama perlu memenuhi sepenuhnya segala peraturan bomba, maka ia mungkin terpaksa diroboh dan dibina semula dengan struktur bangunan hospital baharu.

“Bagaimanapun, melihat dari segi keadaan yang memerlukan pada saat ini, maka keputusan yang diambil adalah untuk menambah baik atau membuat baharu bangunan hospital secara sedikit demi sedikit dan itu yang akan kita laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai tindakan diambil kerajaan untuk mengatasi dan menyiasat punca kebakaran berlaku di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor, baru-baru ini supaya tidak berlaku kepada mana-mana hospital lain pada masa akan datang.

Jelasnya, pihaknya juga baharu sahaja berbincang di peringkat kabinet mencari pakar khusus dalam bidang pencegahan kebakaran termasuk mengkaji aspek reka bentuk semua hospital di negara ini.

Menurut beliau, satu rangka cadangan harus dibentangkan terutama melibatkan langkah terbaik yang dapat diambil bagi memenuhi standard minimum bertujuan menangani sekurang-kurangnya risiko kebakaran yang mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Untuk langkah jangka masa pendek, kita akan melihat keseluruhan sistem pengurusan hospital terutama apabila berlakunya musibah kebakaran.

“Manakala jangka masa panjang pula, sudah pasti kerajaan bergantung kepada peruntukan kewangan sedia ada untuk kita membina baharu semua hospital lama agar ia memenuhi pematuhan standard antarabangsa untuk keperluan bomba khususnya,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memberitahu, keselamatan untuk hospital harus merangkumi semua aspek, bukan aspek kebakaran semata-mata.

Ia termasuk keselamatan aspek kemudahan disedia khusus kepada pesakit, perspektif persekitaran hijau dan mematuhi indeks hijau serta keselamatan dari aspek teknologi dan keperluan warga hospital secara keseluruhan termasuk doktor, jururawat, kakitangan sokongan dan pesakit.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA