Kenyataan Muhyiddin Ibarat 'Belum Beranak, Sudah Ditimang' - Salleh



KUALA LUMPUR : Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pembangkang dapat mengambil alih Johor jika memenangi hanya 10 lagi kerusi pada pilihan raya umum akan datang ibarat 'belum beranak sudah ditimang'.

"Ia samalah seperti 'belum beranak sudah ditimang."

Pertama sekali Muhyiddin perlu meyakinkan pengundi bahawa ia mempunyai sesuatu yang lebih baik untuk ditawarkan daripada kerajaan sekarang.

"Pada masa ini, nampaknya seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semata-mata ditubuhkan untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti juga PKR (Parti Keadilan Rakyat) ditubuhkan untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara," katanya menerusi posting terbaru beliau dalam blognya (http //sskeruak.blogspot.my/).

PAda Ahad, media tempatan memetik bekas timbalan perdana menteri itu sebagai berkata pembangkang hanya memerlukan 10 lagi kerusi negeri untuk mengambil alih kerajaan Johor pimpinan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Johor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan daripada jumlah tersebut, BN menguasai 37 kerusi dan pembangkang 19 kerusi.

Salleh, yang juga Bendahari Umno, berkata Pakatan Harapan belum lagimemutuskan sama ada untuk menerima PPBM ke dalam pakatan pembangkang atau sama ada PPBM cuma menubuhkan pakatan pilihan mengenai pengagihan kerusi.

"Ini harus dibuktikan dahulu kerana jika mereka tidak dapat mewujudkan kesepakatan sebelum pilihan raya, bagaimana mereka hendak mencapai kata sepakat biarpun jika mereka menawan Johor?", tambahnya.

Salleh juga menarik perhatian bahawa bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata mereka tidak perlu mengumumkan calon pembangkang untuk jawatan perdana menteri ataupun mengumumkan kabinet bayangan.

"Pakatan Harapan mahu Anwar sebagai perdana menteri. Adakah ini bermakna Mahathir tidak mahu Anwar? Dalam kes ini, siapakah yang Dr Mahathir mahu?" tanya menteri itu.

Ketika berucap pada satu acara di London baru-baru ini, Dr Mahathir berkata beliau mahu Muhyiddin sebagai calon pembangkang bagi jawatan perdana menteri dan sekarang beliau berkata tidak perlu untuk memutuskannnya buat masa sekarang,katanya.

"Adakah ini kerana PPBM dan Pakatan Harapan tidak bersetuju mengenai calon,"katanya.

Salleh berkata hakikatnya ialah PAS tidak bersetuju dengan pemilihan Anwar dan Muhyiddin sebagai calon bagi jawatan perdana menteri.

Beliau berkata isu ini adalah lebih penting untuk diselesaikan daripada mengira jumlah kerusi hendak dimenangi oleh pembangkang sedangkan tidak tahu apa yang mereka akan lakukan jika mereka menang. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA