'Kenarau 3' Konvensyen Tatu Terbesar Di Sarawak


Miri : Konvensyen Tatu Antarabangsa Sarawak 2016 atau ‘Kenarau 3’ iaitu konvensyen tatu terbesar di negara ini kembali lagi di Stadium Tertutup Miri bermula 14 hingga 16 Oktober ini.

Konvensyen kali ini menampilkan lebih 50 artis tatu dan pemilik studio tatu bukan sahaja berdaftar di seluruh negara ini malah dari luar negara termasuk Indonesia, Thailand, Brunei, Singapura, Australia dan Itali.

Dianjurkan oleh Sarawak Body Art Association (SBAA), konvensyen ‘Kenarau 3’ mendapat kerjasama dan sokongan Majlis Bandaraya Miri (MBM), turut menampilkan bazar makanan, pertandingan mempertahankan diri campuran (MMA), pameran kereta, persembahan kebudayaan dan banyak lagi.

Presiden SBAA Felix Dixon memberitahu, sebanyak 18 kanopi didirikan khusus menempatkan gerai-gerai makanan manakala 60 pondok didirikan untuk penggiat atau studio tatu di dalam dan luar Stadium Tertutup Miri.

“Majlis perasmian berlangsung pada 15 Oktober ini akan dirasmikan oleh Datuk Bandar MBM Adam Yii bermula jam 2 petang.

“Majlis itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting,” katanya.

Sementara majlis menyambut ketibaan artis-artis tatu diadakan pada malam 13 Oktober ini di Alice in Borneoland, Marina Park City dan orang ramai serta peminat tatu boleh bertemu dan berkenalan dengan artis-artis tatu terbabit.

Felix menjemput dan mengalu-alukan orang ramai khususnya peminat tatu serta mereka yang berminat mengukir tatu di badan datang beramai-ramai ke konvensyen tersebut.- UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA