Kementerian Pendidikan Kenal Pasti Sekolah Daif Termasuk Di Sarawak


SEREMBAN: Kementerian Pendidikan telah mengenal pasti sekolah yang mempunyai infrastruktur yang kurang baik dan perlu dinaik taraf serta diselenggara seperti yang diumumkan dalam Bajet 2017.

Timbalan Menteri Pendidikan 2 Senator Chong Sin Woon berkata, sekolah tersebut dalam keadaan yang teruk dan perlu diselenggara demi keselesaan pelajar.

"Kita amat memerlukan peruntukan tersebut kerana banyak sekolah terutama yang telah lama dibina berada dalam keadaan yang sangat daif.

"Ketika kita membina banyak sekolah, jangan kita lupa ada banyak sekolah lama yang perlukan kemudahan dan penyelenggaraan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Makan Malam Amal Sambutan Jubli Emas (1966 - 2016) Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Sheikh Ahmad, di sini semalam.

Dalam Bajet 2017, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan berkata sejumlah RM570 juta diperuntukan untuk membangunkan semula 120 sekolah termasuk 30 di Sarawak dan 30 di Sabah menggunakan Sistem Bangunan Berindustri (IBS) dan menaik taraf 1,800 makmal sains.

Sementara itu, Sin Woon berkata, inisiatif pemberian tablet bantuan mengajar kepada 430,000 guru, dapat membantu dan memudahkan tugasan guru untuk bergerak seiring dengan teknologi menuju ke arah kecemerlangan pendidikan negara.

"Memang menjadi matlamat kementerian mengaplikasikan penggunaan teknologi dalam membantu mempertingkatkan tahap pengajaran dan pembelajaran di sekolah," katanya.-Bernama


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA