KEMAS Masih Relevan, Sebar Maklumat Untuk Rakyat


Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) masih relevan sebagai ejen pengembangan dan perubahan kehidupan masyarakat luar bandar serta berperanan menyebarluaskan maklumat mengenai dasar kerajaan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pergaulan harian kakitangan Kemas bersama penduduk setempat memudahkan mereka menjalankan tugas kerana mereka diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat di kawasan tersebut.

“Bukan sahaja aktif menyelami isu masyarakat untuk dipanjangkan kepada pihak berwajib, Kemas juga bertindak sebagai benteng yang mantap dalam menangani persepsi negatif masyarakat terhadap kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan surat pelantikan kepada 200 kakitangan Kemas pelbagai pangkat bersempena penstrukturan semula kakitangan kontrak Kemas 2016 di kementeriannya semalam.

Mereka adalah sebahagian daripada 1,217 kakitangan kontrak yang diluluskan kenaikan gred susulan pengumuman penstrukturan semula kakitangan kontrak agensi itu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun lepas.

Ismail Sabri berkata seramai 647 daripada 1,217 kakitangan kontrak yang berkhidmat melebihi 15 tahun telah diserapkan ke jawatan tetap selepas penstrukturan semula itu diumumkan, dengan kenaikan gaji antara RM150 dan RM650 bergantung kepada tangga gaji semasa masing-masing. - BNBCC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA