Kekal GST 6%: Orang Ramai Akan Sambut Baik Keputusan



KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan mengekalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada enam peratus adalah satu langkah yang akan disambut baik oleh orang ramai, kerana kebanyakan mereka merasai keperitan keadaan ekonomi sekarang, kata seorang pakar cukai.

GST Partner daripada Deloitte Malaysia, Senthuran Elalingam, bagaimanapun memberi tahu Bernama daripada perspektif pembaharuan cukai, banyak lagi yang boleh dilakukan, kerana ketika ini kadar pendapatan korporat Malaysia adalah yang tertinggi di rantau ini dan hanya 6.7 peratus daripada jumlah penduduk membayar cukai pendapatan peribadi.

Beliau berkata walaupun kerajaan mengumumkan beberapa pelepasan cukai jangka pendek untuk meningkatkan pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengekalkan tenaga kerja, pada masa depan ia harus melihat kepada pengurangan jangka panjang kadar cukai korporat dan pendapatan peribadi.

“Kadar GST kita, walaupun terendah di ASEAN dan antara yang terendah di dunia, juga mempunyai senarai terbesar pengecualian di dunia yang menjadikannya lebih rumit bagi perniagaan dan pengawal selia.

“Pengurangan bilangan pengecualian akan menjadi cara untuk mengimbangi sebarang kerugian daripada pengurangan jangka panjang dalam kadar cukai pendapatan tanpa perlu menaikkan kadar GST.

“Pada asasnya, kita perlu melihat untuk memastikan modal tidak mengalir keluar dari Malaysia ke negara-negara jiran kita dan terus mengekalkan tenaga kerja terbaik,” kata Senthuran.

Mengenai kutipan GST sebanyak RM30 bilion pada 19 Okt, 2016, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2017 pada Jumaat, beliau berkata angka itu dijangka melepasi jangkaan RM38.5 bilion tahun ini.

Ini, katanya, akan bergantung kepada peningkatan keadaan ekonomi dan aktiviti penguatkuasaan oleh Jabatan Kastam DiRaja Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata, pembaharuan cukai yang lebih besar diperlukan untuk menangani penyusutan hasil daripada sektor minyak dan gas dan penurunan nilai ringgit. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA