Kedudukan Pembangkang Di Sabah Kian Lemah


Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Junz Wong keluar dari parti DAP bersama beberapa wakil rakyat dan pemimpin PKR semakin melemahkan kedudukan pembangkang di Sabah.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong yang berkata tindakan Junz itu dianggap sebagai pengkhianatan terhadap parti.

"Tindakannya merosakkan DAP Sabah dan ini kami tidak boleh terima. "Dia sepatutnya bersyukur berada dalam DAP dan memenangi kerusi Likas atas tiket DAP. Sekarang, dia keluar rumah (parti) kononnya untuk menyertai parti tempatan tetapi belum tahu masuk rumah mana," katanya pada sidang media DAP Sabah semalam.

Ahad lalu, Junz bersama Pengerusi PKR Sabah, Datuk Lajim Ukin dan seorang lagi pemimpin PKR iaitu ADUN Moyog, Terence Siambun, mengisytiharkan keluar parti. Turut meninggalkan parti, Setiausaha Agung PKR Sabah, Datuk Maijol Mahap dan Ketua Wanita PKR Sabah, Johair Matlani.

Junz dikatakan yang turut membawa bekas Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Joan Goh dan Naib Pengerusi DAP Sabah, George Hiew, serta empat lagi pemimpin DAP Sabah.

"Kalau tujuan dia (Junz) keluar parti untuk melawan Barisan Nasional (BN), dia sepatutnya tarik ahli BN dan bukan bawa lari ahli DAP," kata Stephen.

Stephen yang juga Ahli Parlimen Sandakan, berkata pihaknya kini melakukan penstrukturan semula kepemimpinan dengan Foong Hin mengambil alih tugas Setiausaha DAP Sabah dan melantik ADUN Kapayan, Dr Edwin Bosi sebagai Timbalan Pengerusi yang baharu. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA