Kedudukan Hutang Kerajaan Persekutuan Kekal Terurus


Kedudukan hutang kerajaan persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata sehingga akhir Jun tahun ini, kedudukan hutang kerajaan adalah berjumlah RM655.7 bilion atau 53.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 95.9 peratus atau RM628.8 bilion merupakan hutang domestik sementara 4.1 peratus atau RM26.9 bilion adalah pinjaman luar pesisir.

"Hutang yang dibuat oleh kerajaan persekutuan bertujuan untuk membiayai defisit berikutan kekurangan hasil bagi menampung perbelanjaan pembangunan kerajaan.

"Pinjaman yang dibuat untuk membiayai perbelanjaan pembangunan ini adalah perbelanjaan yang produktif, yang dapat menyokong pertumbuhan ekonomi dan dapat memanfaatkan rakyat seperti pembinaan sekolah, hospital, jalan raya dan empangan," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) mengenai jumlah hutang negara dan jumlah jaminan kerajaan berasaskan pembentangan Bajet 2017 pada Jumaat lepas.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata perbelanjaan pembangunan itu secara tidak langsung turut memberi manfaat kepada sektor swasta melaksanakan pelbagai program dan aktiviti ekonomi.

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah jaminan yang diberikan oleh kerajaan sehingga Jun 2016 adalah sebanyak RM180.9 bilion atau 14.7 peratus daripada KDNK.

"Jaminan tersebut diberikan terutamanya kepada entiti awam yang melaksanakan projek infrastruktur seperti Prasarana dan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) yang terlibat dalam pembinaan infrastruktur seperti LRT, MRT dan penyediaan pinjaman pelajaran untuk pendidikan peringkat tinggi," katanya.

Beliau berkata kerajaan terus komited untuk memastikan paras hutang tidak melebihi 55 peratus daripada KDNK.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA