Kebersihan Pasar Malam Belia N6 Metrocity Jadi Satu Tarikan

KUCHING: Aspek kebersihan antara fokus utama Pasar Malam Belia N6 Metrocity, selain memberi ruang perniagaan kepada para belia dalam usaha menjadikan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N6 Tupong sebagai tarikan utama warga Kuching.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman, antara objektif beliau untuk membangunkan Pasar Malam Belia N6 Metrocity ialah untuk menjadikan ianya sebagai salah satu tarikan pelancong yang mengunjungi Petra Jaya atau kuching.

“Maka langkah pertama ke arah objektif tersebut adalah menitikberatkan aspek kebersihan; kebersihan peniaga-peniaga, gerai-gerai dan juga keseluruhan pasar tersebut.

“Jika ianya berjaya bermakna peniaga-peniaga belia kita dapat menikmati kesan yang positif terhadap perniagaan mereka,” katanya ketika dihubungi Sarawakiana

Beliau berkata, kebersihan adalah fokus utama yang perlu dibudayakan agar ia menjadi contoh sebagai pasar malam tersibuk namun dikenali antara yang terbersih di Bandaraya Kuching.

Mengulas lanjut, Fazzrudin berkata pihaknya akan mengadakan kempen “Jagalah Kebersihan Pasar Malam Kita” pada setiap bulan dimana badan-badan yang berbeza akan bergilir-gilir mengutip sampah semasa kempen tersebut.

“Pada bulan hadapan, pelajar-pelajar dari IPTA/IPTAS akan turut serta menjalankan kempen tersebut,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut bercadang untuk menambahbaik surau sementara dan menambah tandas awam di situ.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai program Kebersihan di Pasar Malam Belia N6 Metrocity yang dilancarkannya di sini malam tadi.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Muda Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Narodin Majais, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan pemilik Metrocity di atas kerjasama dan sokongan mereka berikan. -Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA