Kebakaran HSA: PM Ucap Terima Kasih Pihak Terlibat


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak dan agensi yang menyumbang tenaga dalam usaha menyelamat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru semalam.

Ini termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, doktor, jururawat dan kakitangan hospital serta sukarelawan.

Dalam catatan di laman Facebook beliau hari ini, Najib berkata siasatan terperinci akan dilakukan bagi membantu meningkatkan lagi tahap keselamatan di hospital kerajaan.

“Kita akan membantu keluarga mangsa dan pesakit terbabit, juga memastikan perkhidmatan kesihatan di Hospital Sultanah Aminah berjalan seperti biasa,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi semalam, enam pesakit maut apabila wad Unit Rawatan Rapi di tingkat dua bangunan lima tingkat HSA terbakar, manakala seorang lagi pesakit berjaya diselamatkan. Tiga kakitangan hospital itu cedera dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA