Kastam China Dedah Taktik Seludup Berlian


SHENZHEN: Pihak kastam di Shenzhen di wilayah Guangdong mendedahkan pelbagai cara unik dan pelik yang digunakan penyeludup untuk menyeludup berlian masuk ke China.

Menurut pihak berkuasa itu, pada tahun ini sahaja mereka berjaya menggagalkan lebih 100 cubaan menyeludup berlian ke negara itu.

Terbaru kastam yang bersempadan dengan Hong Kong itu berjaya menemui 133 berlian yang disembunyikan di dalam seluar dalam seorang lelaki.

Berlian berkenaan disembunyikan di dalam satu poket rahsia di seluar dalam berkenaan.

Permata bernilai jutaan dolar itu adalah yang paling besar berjaya dirampas pada tahun ini.

Selain itu pihak berkuasa juga menemui 13 berlian yang disembunyikan di dalam stokin dan 22 berlian di dalam kotak rokok.

Satu lagi kes, seorang lelaki ditahan selepas dia membawa 14 berlian seberat 7.1 karat di dalam poket.

Jabatan kastam China berkata, kes menyeludup berlian bagi mengelak dikenakan cukai itu boleh dibahagikan kepada dua kategori.

Pertama, orang ramai yang menyeludup berlian bagi mendapatkan komisen daripada peniaga barang kemas dan yang kedua peniaga kedai emas sendiri yang menyeludup berlian untuk dijual.-Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA