Karen Libau Realisasikan Impian Ibu



KUCHING : Buat julung kalinya Karen Libau telah dinobatkan sebagai artis baru terbaik sepanjang lima tahun bergiat sebagai penyanyi dalam Anugerah Muzik Dayak (AMD) anjuran Dayak Artiste Musician Association (DAMA) baru-baru ini.

Beliau turut merangkul anugerah vokal terbaik dan anugerah lagu pop terbaik pada malam tersebut.

Menurut Karen, kemenangan beliau kali ini mendapat inspirasi daripada mendiang ibu beliau Lily Jai yang juga merupakan salah seorang penyanyi lama iban.



"Mendiang ibu banyak memberi kekuatan untuk menjadikan saya sebagai penyanyi dan mengimpikan saya akan menemui kejayaan dalam bidang ini suatu hari nanti.

"Hari ini impian ibu telah tercapai dan saya cukup terharu dan gembira dapat merealisasikan impian ibu walaupun mendiang tidak sempat untuk menikmati kejayaan ini bersama," katanya kepada Sarawakiana.

Menurut Karen lagi, beliau sering mengikuti nasihat serta tunjuk ajar mendiang ibu sehingga beliau mampu menghadapi dugaan sebagai penyanyi dengan matang.



"Kerana sokongan mendiang ibu dan keluarga saya mampu berdiri mengahadapi pelbagai rintangan yang melanda.

"Tiada istilah mengalah dalam jiwa ini dan terus jadikan impian mendiang ibu dan keluarga sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya dalam dunia hiburan," ujarnya.

Karen turut berterima kasih kepada juri profesional yang memilih beliau antara yang menerima anugerah yang cukup berharga dan tidak lupa juga kepada penganjur, tetamu yang hadir, peminat dan keluarga yang terus menyokong beliau sehingga memenangi anugerah yang begitu bernilai bagi beliau. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA