Kapal Karam Zaman Uthmaniyyah Ditemui Di Dasar Laut Hitam


LONDON – Sekumpulan pengkaji menemui bangkai 40 kapal karam yang dipercayai tenggelam semasa pemerintahan empayar Uthmaniyyah dan Byzantine ketika membuat kajian pemetaan Laut Hitam baru-baru ini.

Projek Arkeologi Maritim Laut Hitam itu disertai oleh pasukan antarabangsa diketuai oleh Pusat Arkeologi dari Universiti Southampton, London.

Ekspedisi tersebut berada sehingga 1,800 meter di bawah Laut Hitam menggunakan sebuah kapal selam kawalan jauh dilengkapi dengan peralatan laut dalam paling canggih di dunia.

“Dengan menggunakan teknik rakaman tiga dimensi untuk struktur laut dalam, kami mampu mengambil imej-imej artifak tanpa mengganggu lantai laut,” ujar Ketua Projek, Prof. Jon Adams.

Menerusi penemuan tersebut, pengkaji berharap dapat mendalami aktiviti-aktiviti di perairan di Laut Hitam yang menjadi tumpuan empayar besar lain pada zaman dahulu termasuk Greece dan Rom.

Menurut sejarah, kerajaan Uthmaniyyah yang menakluk Constantinople (Istanbul) menutup Laut Hitam kepada kapal dagang pada tahun 1453dan dibuka semula 400 tahun kemudian iaitu pada tahun 1856. – Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA