Kapal bawa misi WBG tiba di perairan Gaza


KUALA LUMPUR: Kapal Zaytouna-Olivia yang membawa 13 aktivis wanita termasuk dari Malaysia bagi misi kemanusiaan 'Women's Boat to Gaza' (WBG) memasuki perairan Gaza, tengah hari tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar, berkata kapal terbabit sudah melepasi garisan 80 batu nautika dari pantai Gaza pada jam 12.20 tengah hari.

"Pada jam 11.40 pagi tadi, kapal terbabit melepasi garisan 100 batu nautika dari pantai Gaza yang dikawal tentera Israel dan kami bersyukur kerana kapal itu masih meneruskan pelayaran tanpa masalah.

"Terkini, mereka sudah melepasi garisan 80 batu nautika dan dijangka tiba di Pelabuhan Gaza awal pagi esok," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Misi WBG yang turut disertai Anggota Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Dr Fauziah Mohd Hasan, memulakan pelayaran dari Barcelona, Sepanyol pada 14 September lalu membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

Selain aktivis Malaysia, pemenang Anugerah Nobel 1976, Mairead Maguire dari Ireland; Anggota Parlimen Green Party dari New Zealand, Marama Davidson; serta pengarah dan penulis skrip dari Amerika Syarikat, Naomi Wallace, turut menyertai misi WBG.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA