Kapal Bawa Aktivis Wanita Ke Gaza Ditawan Tentera Israel


KUALA LUMPUR: Kapal Zaytouna-Olive yang membawa 13 wanita dalam misi Women's Boat to Gaza (WBG) termasuk wakil tunggal dari Malaysia, Dr. Fauziah Mohd. Hasan ditawan tentera Israel.

Perkara itu disahkan Pusat Krisis WBG Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang terputus hubungan dengan ahli misi WBG.

“Kapal Zaytouna-Olive beserta tiga kru dan 10 orang anak kapal telah ditawan oleh tentera Israel sekitar pukul 8.58 malam hari ini (tadi).

“Kami terputus hubungan dengan kapal itu pada 8.50 malam (waktu Malaysia) dengan koordinat kedudukan terakhir mereka, kurang 50 batu nautika dari Gaza," katanya dalam satu kenyataan disini sebentar tadi.

Kapal Zaytouna yang dalam misi Women's Boat To Gaza (WBG) itu dijangka akan ditunda oleh tentera Israel menuju ke pelabuhan Ashdod.

Menurut laman Facebook Rose2Rose, laporan selanjutnya akan menyusul dan dikemas kini selepas mendapatkan maklumat lanjut dari pihak Freedom Flotilla Coalition (FFC).

Ketika kejadian, kapal Zaytouna sudah melepasi garisan 100 batu nautika ke arah pantai Gaza dan pada kedudukan itu, kapal berkenaan telah memasuki garisan perairan yang dikawal oleh tentera Israel.

Selain Dr Fauziah, delegasi wanita dari negara lain adalah dari Tunisia, Israel, Algeria, Kanada, Turki, Amerika Syarikat, Sweden, Ireland, New Zealand dan Australia.

Pelayaran mereka bermula pada 8 malam (waktu tempatan Barcelona) 14 September lalu dari pelabuhan Vell dan membuat persinggahan di Ajaccio, Perancis pada 19 September sebelum meneruskan perjalanan ke Messina, Itali.

Kapal berkenaan cuba menghampiri Gaza dalam usaha melepasi sekatan yang dikenakan Israel sejak berdekad-dekad lamanya. - K! ONLINE



No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA