Kadar Efektif GST Cuma 3.6%


KUALA LUMPUR - Struktur Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan kerajaan telah mengambil kira kedudukan semasa sosioekonomi rakyat Malaysia, ujar Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani.

Menurut beliau, ia adalah untuk memastikan impak yang minima kepada rakyat terutamanya golongan yang berpendapatan rendah.

"Struktur GST yang dilaksanakan telah mengambil kira kedudukan semasa sosioekonomi rakyat Malaysia untuk memastikan impak minima kepada rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

"Hasrat dan objektif tersebut adalah jelas apabila banyak barang keperluan asas dikenakan GST pada kadar sifar manakala perkhidmatan asas dikecualikan dari GST," katanya.

Kerajaan juga ujar beliau telah menyediakan pelbagai pakej bantuan pelaksanaan GST untuk memastikan impak yang minima kepada rakyat termasuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Di samping itu, kerajaan juga telah mengurangkan kadar cukai individu iaitu sebanyak 1% hingga 3%," katanya.

Seterusnya, Johari turut menerangkan bahawa dalam tempoh sembilan bulan sehingga 31 Disember 2015, kerajaan telah berjaya mengutip RM27.93 bilion hasil GST manakala bagi tahun 2016 setakat 10 Oktober, kerajaan telah mengutip RM29.34 bilion.

Ujar beliau, semasa hendak melaksanakan GST, hanya Malaysia dan Myanmar sahaja yang belum melaksanakannya. Johari turut menyenaraikan kadar GST di rantau ASEAN iaitu Filipina pada kadar 12%, Indonesia 10%, Vietnam 10%, Kemboja 10%, Thailand 7% dan Singapura 7%. Ini bermakna apabila Malaysia memperkenalkan sistem percukaian GST, ia merupakan kadar yang terendah di rantau ini.

Selain itu katanya, walaupun kerajaan mengenakan kadar 6% GST, tetapi sebenarnya kadar efektif GST adalah pada kadar 3.6% sahaja. Ini kerana terdapat barangan yang dikecualikan GST dan ada juga barangan GST sifar.

Secara puratanya, apabila diambil kira keseluruhan barangan ini, kadar efektif GST adalah pada 3.6% sahaja.

"Walaupun kita caj 6%, kalau kita lihat barang-barang yang bebas GST dan GST sifar ini, secara puratanya efektif GST kita adalah 3.6%," katanya. - klxpress

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA