Jururawat Ini Masih Bertarung Nyawa, Hero Insiden HSA


SUSULAN insiden kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru semalam, kini beberapa gambar memaparkan seorang jururawat mula menjadi perhatian netizen di media sosial.

Jururawat tersebut, Nurul Ain Syawqah Wardiah merupakan staf HSA yang cedera parah ketika menyelamatkan ramai pesakit dalam insiden kebakaran terburuk itu.

Nurul Ain yang merupakan pelatih fisioterapi dilaporkan masih lagi ditempatkan di unit ICU, Hospital Sultan Ismail (HSI) dekat HSA.

Rata-rata netizen di media sosial mendoakan kesihatan Nurul dan memuji tindakannya yang sanggup menempuh bahaya demi menyelamatkan pesakit ketika kebakaran.

Nurul Ain Syawqah Wardiah berasal dari Temerloh, Pahang namun segala identiti peribadi mengenai jururawat ini tidak banyak didedahkan.

Menurut laporan Harian Metro, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, menerusi catatan di Facebook berkata satu-satunya pesakit yang berjaya diselamatkan dari HSA, kini berada dalam keadaan kritikal.

Mangsa kemudian dipindahkan ke Unit Kebakaran, HSI. Mengikut senarai maklumat mangsa yang ditulis pihak bomba, Nurul Ain adalah mangsa yang cedera parah dalam kejadian kebakaran di HSA.

Namun, ketika ini tiada sebarang laporan terkini mengenai keadaan mangsa.

Walau apapun, jasa dan pengorbanan seorang jururawat ini sangat-sangatlah dihargai. Walau dalam keadaan getir sekalipun, mereka sanggup menggadaikan nyawa demi menyelamatkan pesakit mereka.

Sama-sama kita mendoakan supaya jururawat ini selamat dan kembali sihat seperti sedia kala. Amin. -MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA