Jumpa tengkorak lepas dua bulan hilang


JEMPOL - Tengkorak milik seorang lelaki yang hilang pada 28 Ogos lalu di jumpai kawasan paya blok 11 Felda Palong 5, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, rangka tulang dan tengkorak tersebut telah disahkan oleh adik mangsa, Mohamad Sham Harun, 33, yang sebelum ini membuat laporan mengenai kehilangan abangnya.

Katanya, mangsa baru sahaja dibebaskan dari penjara akibat kesalahan penyalahgunaan dadah sebelum dijumpai mati.

Menurut Noorzainy, mayat Mohamad Sham, 39, ditemui dalam keadaan tidak sempurna dan hanya tinggal rangka disebabkan mangsa telah meninggal dunia hampir dua bulan lalu.

"Rangka badan manusia itu ditemui oleh penduduk kampung yang melalui kawasan tersebut sekitar jam 6.30 petang.

"Hasil siasatan lanjut kita temui pula tengkoraknya dalam kawasan kebun getah dan kelapa sawit, iaitu kira-kira 25 ke 30 meter dari lokasi rangka badannya ditemui.

"Kita telah membawa adik mangsa ke tempat kejadian, proses pengecaman telah pun dilakukan dan disahkan bahawa barang yang ditemui adalah milik abangnya," katanya.

Tambahnya, pengecaman berdasarkan kepada tali pinggang, seluar dan motosikal yang ditemui di lokasi kejadian.

Kata Noorzainy, mayat mangsa dipercayai telah dihanyutkan oleh air sungai, berdasarkan lokasi barang-barang dan motosikal yang ditemui adalah berbeza jarak.

Kesemua rangka dan tengkorak di bawa ke Hospital Jempol untuk tindakan susulan, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-SH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA