Juanda: Politik Baharu Tidak Semestinya Diteraju Lapisan Muda

KUCHING, 11 Okt (Bernama) -- "Politik baharu tidak semestinya diteraju lapisan muda, yang penting amanah dan tanggungjawab," kata Anggota Dewan Undangan Negeri Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya.

Katanya ledakan teknologi maklumat ketika ini membawa pembaharuan dalam landskap politik dunia, namun meskipun teknologi itu rata-rata dikuasai oleh golongan muda, tidak bermakna mereka boleh terus saja menerajui agenda politik tanpa bimbingan pemimpin lama yang lebih berpengalaman.

"Apa yang lebih penting adalah kebertanggungjawaban kalangan mereka yang diamanah menjadi pemimpin atau wakil rakyat, kerana faktor usia sebenarnya bukanlah isu," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya di sini baru-baru ini, semasa diminta mengupas isu-isu yang berkaitan.

Kata Juanda, dalam usianya menginjak 45 tahun, beliau tidak menganggap sedang berada dalam kelompok 'lapisan muda', sebaliknya merupakan kelompok usia yang boleh menjadi jambatan terbaik untuk membina interaksi antara pemimpin lama dengan generasi pemimpin baharu.

Beliau juga berpendapat sifat agresif tidak boleh dikaitkan dengan usia, malah terdapat juga wakil rakyat daripada barisan muda yang langsung tiada aktiviti, tidak mengemas kini laman sosial Facebook, dan selepas menang pilihan raya, terus hilang dan jarang-jarang sekali turun kawasan.

"Namun soal usia adalah sesuatu yang relatif, ia begitu subjektif. Kita tidak nafikan ada pemimpin yang dah berumur tapi semangat hebat bagai orang muda. Contoh Ketua Menteri kita (Tan Sri Adenan Satem), semangatnya cukup kuat, dia cukup inovatif melihat sesuatu isu, mungkin sebab sudah pengalaman luas dalam politik.

"Kami orang baharu (wakil rakyat) ni adakalanya takut juga lihat dia amat berani bawa isu, adakalanya menongkah arus. Biasanya orang politik cuba elak mengkritik antara satu sama lain. Tapi Tok Nan (Adenan) ni berani, dia faham aspirasi anak muda, mahukan perubahan, lebih berterus terang, dia nak tengok hasil, cakap panjang lebar tak nak," katanya.

Bekas Mufti Perlis yang bergelar wakil rakyat di kawasan pedalaman Sarawak itu sejak lima bulan lepas dilihat amat aktif, malah cukup agresif menyuarakan aspirasi dan kehendak penduduk kawasan itu menerusi apa jua saluran yang tercapainya sama ada menerusi Facebook, turun padang, mahupun majlis ceramah yang disertainya, lazimnya berkisar tentang keagamaan.

Kelantangan beliau terutama semasa mengetengahkan soal berkaitan jambatan RM300 juta buat penduduk Igan, kira-kira 450km dari sini baru-baru ini, pastinya turut mengundang beberapa isu susulan.

"Ada juga sesetengah wakil rakyat persoal kenapa penduduk kawasan saya tidak boleh bersabar, sedangkan penduduk kawasannya sudah lebih lama menunggu projek-projek pembangunan untuk sampai, tapi mereka tetap bersabar.

".... itu hal dialah, saya nak katakan rakyat di kawasan saya dah tak sabar, saya sebagai wakil rakyat juga dah tak sabar. Sebab tiap minggu saya tengok sendiri, tunggu feri berjam-jam untuk ke seberang.... tanpa jambatan tahap pembangunan tidak akan ke mana, tahapnya akan jadi begitu saja selamanya," katanya.

Juanda berkata dalam menimba pengalaman bertugas sekitar enam tahun di Semenanjung, beliau melihat orang 'seberang sana' cukup kuat bekerja, cukup telus dan suka berterus terang, dan sikap inilah yang perlu dibawa ke Sarawak.

"Orang berterus terang bukan bermakna nak bergaduh. Orang berterus terang untuk cari idea macam mana nak beri servis terbaik untuk rakyat. Pastinya bila berusaha bersungguh-sungguh, kita dapat hasil lebih positif," katanya.

Ditanya pandangannya tentang isu utama yang dilihatnya cukup penting kepada Sarawak, Juanda berkata ia pastinya berkisar kepada soal pembangunan yang turut merujuk kepada kemudahan keperluan asas dan pendidikan.

Katanya soal pendidikan turut merangkumi prasarana sekolah, kelengkapan, latihan kemahiran, malah guru yang dihantar ke Sarawak, yang menurutnya perlulah berpengalaman dan berkualiti.

"Setakat ini Barisan Nasional (BN) menang di Sarawak, mungkin orang muda suka BN, pada saya itu terlalu subjektif, pendedahan teknologi maklumat sekarang menjadikan kita tidak boleh berlindung di sebalik lambang sahaja. Rakyat mahu lihat kepada calonnya, batang tubuhnya, kena ingat perubahan politik baharu berlaku di seluruh dunia," katanya. -- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA