Jokowi Terkejut Nama Ikan Macam Nama Stesen TV


JAKARTA – Presiden Indoesia, Joko Widodo tertawa geli ketika mendengar seorang nelayan di pulau terpencil Miangas menyatakan nama-nama ikan yang kedengaran agak asing bagi dirinya.

Insiden lucu itu berlaku ketika beliau yang mesra disebut sebagai Jokowi hadir merasmikan lapangan terbang Miangas, di Kabupaten Tusaud, wilayah Sulawesi Utara, kira-kira 2,555 kilometer dari sini pada Rabu lalu.

Ketika acara perasmian, Jokowi meminta salah seorang penduduk setempat yang bekerja sebagai nelayan untuk maju ke atas pentas dan ia memang lazim dilakukan beliau dalam pelbagai acara disertai masyarakat tempatan.

Pada kebiasaannya, Jokowi akan memberikan hadiah sebuah basikal baharu apabila penduduk yang naik ke pentas acara disertainya itu dapat menjawab soalan dikemukakannya dengan betul, menurut laporan media tempatan.

“Saya dengar di sini majoriti penduduknya merupakan nelayan. Cuba saya minta salah satu nelayan datang ke sini,” kata Jokowi sebelum muncul seorang nelayan setempat yang dikenali sebagai Petrus pun tampil naik ke pentas.

Disebabkan kerjanya nelayan, Petrus diminta menyebut 10 jenis ikan. Mulanya dia menyatakan ikan yang diketahui Jokowi seperti tuna dan kerapu, lantas dia memaklumkan jenis ikan yang baharu pertama kali didengar Jokowi.

“Ikan Indosiar, Pak,” kata Petrus merujuk kepada ikan terbang. Di wilayah Sulawesi Utara, ikan itu memang kerap disebut Indosiar oleh penduduk tempatan kerana pernah dijadikan sebagai logo stesen televisyen swasta Indosiar.

Presiden republik berkenaan pun langsung terkejut sebaik mendengar nama ikan mirip nama stesen Indosiar itu disebut dan sambil ketawa geli hati beliau bertanya semula: “Indosiar? Ikannya Indosiar itu ya? Itu betul itu?”

Untuk rekod, Indosiar pernah menggunakan lambang ikan terbang sebagai logo rasmi stesen nasional tersebut antara 2007 hingga 2012 lalu sebelum ia diubah mirip kepada sebuah stesen televisyen Hong Kong di China.

Enggan percaya begitu sahaja dengan jawapan Petrus, Jokowi terus bertanyakan Gabenor Sulawesi Utara, Olly Dondokambey apakah ia benar-benar wujud sebelum pemimpin setempat itu mengangguk tanda pengesahan.

“Wah kaget saya, saya pun belum pernah tahu kalau ada ikan Indosiar,” kata Jokowi sambil tertawa kehairanan. Penduduk yang hadir memeriahkan acara berkenaan pun turut ketawa setelah melihat kejadian spontan itu.

Secara kebetulan, Indosiar popular dalam kalangan penduduk kerana sering menyiarkan drama terbaharu dari Korea Selatan dan Hong Kong selain siri sinetron tempatan serta perlawanan secara ‘live‘ liga bola sepak Inggeris.

Ikan lain yang membuatkan Jokowi kembali tertawa ialah ikan kakatua. Bagi beliau, nama kakatua lebih popular sebagai jenis burung. “Hah, benar itu ikan? Kan burung itu kakatua, masakan ikan,” kata Jokowi lagi tidak percaya.

Selesai berjaya menjawab sepuluh nama ikan yang diminta, Petrus pun diberi hadiah berbentuk sekeping sampul surat berisi wang tunai oleh Jokowi sebagai gantian kerana beliau tidak dapat membawa basikal ke Miangas.

“Saya biasanya akan memberi hadiah sepeda (basikal) kepada penduduk. Tetapi kalau dibawa ke sini, ia agak berat. Jadi nanti Petrus hanya perlu beli sendiri di mana-mana kedai,” kata Jokowi. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA