Jokowi 'Tangkap' Pegawai Rasuah


JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) kelmarin menyertai satu operasi oleh polis negara itu bagi menangkap beberapa pegawai di Kementerian Pengangkutan yang terbabit rasuah.

Pegawai terbabit ditangkap kerana mengenakan bayaran tertentu kepada orang ramai untuk perkhidmatan lesen kenderaan.

Menteri Pengangkutan Indonesia, Budi Karya Sumadi berkata, dia menerima laporan mengenai amalan bayaran secara tidak sah itu sebulan selepas dilantik sebagai menteri.

Amalan itu dikenali sebagai pungli di Indonesia dikenakan pegawai kepada orang ramai untuk mempercepatkan urusan di pejabat kerajaan.

“Saya menerima laporan yang menunjukkan berlaku kutipan bayaran tidak sah di kementerian terutama di bahagian perkhidmatan pelesenan,” katanya.

Menurutnya, dia bekerjasama dengan polis kerana amalan rasuah itu berkaitan dengan undang-undang jenayah.

Susulan laporan itu polis menjalankan siasatan dan memutuskan untuk membuat tangkapan selepas menemui bukti kukuh.

“Saya berterima kasih kepada polis kerana bekerja keras untuk menyelesaikan kes ini,” jelasnya.

Sementara itu, Jokowi yang melawat pejabat Kementerian Pengangkutan selepas tangkapan dibuat berkata, dia kesal kerana amalan rasuah masih berlaku di jabatan kerajaan.

“Saya mengarahkan pegawai ini ditangkap, disiasat dan dipecat sekiranya didapati bersalah,” tegasnya.-Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA