JKM Campur Tangan Jika Gagal Selesai Hak Penjagaan


PUTRAJAYA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan campur tangan sekiranya hak penjagaan dua anak yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat nahas jalan raya pada Mei tahun lepas, gagal diselesaikan anggota keluarga.

Pada masa sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, kecewa terhadap perebutan hak penjagaan Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 8, dan adiknya, Nur Firuza Aqilah, 5, yang ibu bapa mereka maut dalam kemalangan ngeri di Lebuhraya Duta Ulu Kelang (Duke).

"Ia adalah pertikaian keluarga. Saya harap mereka dapat selesaikannya supaya berada pada keadaan terbaik untuk menjaga dua kanak-kanak itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Pembangunan Wanita dan Keluarga di sini hari ini.

Fairuz Nizam, 35, isterinya Nova Safitri, 27, serta bayi perempuan tujuh bulan mereka, Nur Annisa Firuza maut dalam kemalangan ngeri di Lebuhraya Duke pada 2 Mei tahun lepas.

Rohani berkata pihaknya sedang mendapatkan maklumat dan laporan terperinci berhubung keadaan dua adik-beradik itu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

"Jika keadaan di luar kawalan, kami akan campur tangan. Kami memang ada hak mengambil penjagaan anak ini (diletakkan di institusi kebajikan) bagi kepentingan kanak-kanak itu.

"Namun, ia adalah pilihan terakhir. Apa yang saya utamakan ialah mereka diberi kasih sayang sepenuhnya," kata Rohani.

Menurutnya, beberapa hari selepas kemalangan itu, anggota keluarga mereka sepakat menyerahkan hak penjagaan dua adik-beradik tersebut kepada seorang anggota keluarga namun kini mereka pula bertelagah untuk mendapatkan hak penjagaan mereka.

"Pada masa itu, mereka memberi jaminan kepada kami. Pada ketika itu, saya juga amat gembira sebab ahli keluarga sepakat untuk menjaga dua adik-beradik itu dan JKM mahu hak penjagaan diberikan kepada ahli keluarga terdekat. Kini, apa yang berlaku amat mengecewakan,” katanya. – Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA