Janji Pamer Aksi Terbaik

Foto Harian Metro
KUALA LUMPUR: Tonggak pertahanan tengah Mohamad Fadhli Shas perlu kembali ke prestasi terbaik jika mahu kekal dalam skuad Harimau Malaysia bagi saingan Piala AFF buat kali ketiga berturut-turut di Yangon, Myanmar, November depan.

Pengendali kebangsaan Datuk Ong Kim Swee masih mahu memberi kepercayaan kepada pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu meskipun dikritik hebat susulan persembahan buruk ketika Malaysia tumpas 0-3 kepada Indonesia pada aksi persahabatan bulan lalu.

Fadhli berada dalam senarai 25 pemain ke Singapura bagi aksi persahabatan di Stadium Nasional esok dan dengan Shahrom Kalam yang baru kembali berlatih serta Ronny Harun diketepikan akibat kecederaan, dia dijangka diturunkan dalam perlawanan itu.

Bagi bekas pemain Harimau Muda A berusia 25 tahun itu, dia sedar akan kesilapan dilakukan dalam perlawanan sebelum ini dan bertekad menebusnya semula.

“Mungkin salah satu (tekanan) tapi bagi saya itu bukan masalah besar kerana jurulatih memanggil semua pemain yang layak bermain bersama pasukan ini.

“Saya perlu tunjukkan sesuatu kalau diberi peluang bermain. Saya perlu fokus, kena bagi yang terbaik dan tak mengulangi kesilapan,” kata Fadhli, tonggak skuad juara Piala AFF 2010.

Skuad kendalian Kim Swee tiba di Singapura semalam dan akan melakukan persiapan terakhir menjelang pertembungan Causeway Challenge 2016 itu.

Fadhli tidak diturunkan ketika Harimau Malaysia menang 3-1 ke atas pasukan jiran itu pada aksi peringkat kumpulan Piala AFF dua tahun lalu dan dia mengakui penting untuk mereka terus mencatat kemenangan bagi menyuntik keyakinan semula.

“Kebanyakan semua pemain mengenali pemain Singapura, sudah tahu corak permainan mereka, jadi kita pergi sana untuk dapatkan keputusan, insya-Allah kita boleh menang,” katanya.

Selepas pertembungan dengan Singapura, anak buah Kim Swee akan kembali ke tanah air untuk menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan menentang Afghanistan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober ini.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA