Jangkaan Hayat Penduduk Malaysia Meningkat


PUTRAJAYA - Jangkaan hayat ketika lahir bagi penduduk Malaysia terus meningkat berbanding sedekad lalu iaitu mencecah 74.7 tahun pada 2016 berbanding 72.2 tahun pada 2000.

Jabatan Perangkaan dalam kenyataannya hari ini berkata pada 2016, seorang bayi lelaki yang baru lahir dijangka boleh hidup selama 72.6 tahun, meningkat 0.7 tahun berbanding 71.9 tahun pada 2010.

Bayi perempuan yang baru lahir pula dijangka boleh hidup selama 77.2 tahun, meningkat 0.6 tahun berbanding 76.6 tahun bagi tempoh yang sama.

"Perbezaan jangkaan hayat ketika lahir antara jantina berada dalam selang 4.6 hingga 4.7 tahun sepanjang tempoh 2010 hingga 2016," kata Jabatan Perangkaan.

Menurut jabatan itu, pada 2016, seorang lelaki yang berumur 65 tahun dijangka akan hidup selama 14.9 tahun lagi dan perempuan pula selama 16.9 tahun lagi.

Jabatan Perangkaan berkata ini bermakna, lelaki yang berumur 65 tahun dijangka boleh hidup sehingga umur 79.9 tahun dan perempuan sehingga umur 81.9 tahun.

Sementara itu, semua kumpulan etnik mencatatkan peningkatan dalam jangkaan hayat ketika lahir bagi tempoh 2010 hingga 2016.

Kenyataan itu turut menyebut kaum Cina terus mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir tertinggi dengan 77.3 tahun, diikuti oleh bumiputera (73.6 tahun) dan India (71.8 tahun).

Jangkaan hayat tertinggi mengikut jantina dicatatkan kaum Cina dengan 75.0 tahun bagi lelaki dan 79.9 tahun bagi perempuan.

Sebaliknya, jangkaan hayat terendah dicatatkan kaum India dengan 67.8 tahun bagi lelaki dan 76.0 tahun bagi perempuan, kata Jabatan Perangkaan. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA