Jangan Ulangi Pembaziran Laksa Sarawak


Susulan kontroversi 1,500 hidangan “Mangkuk Laksa Sarawak Terbesar” yang terpaksa dibuang selepas mendapat nama dalam Malaysia Book of Records pada Jumaat lepas membuatkan pihak penganjur mendapat pelbagai kritikan daripada netizen.

Kebanyakkan netizen menganggap pembuangan laksa tersebut sebagai satu pembaziran yang besar dan tidak layak diberikan rekod kerana hidangan tersebut sepatutnya lebih baik diagihkan kepada orang ramai.

Namun ada juga yang menganggap berkemungkinan pihak penganjur tidak mengagihkan hidangan tersebut atas faktor keselamatan dimana dikhuatiri hidangan tersebut telah dicemari dan boleh menyebabkan keracunan makanan.

Difahamkan hidangan dalam mangkuk sebesar 1.3 meter itu mengandungi 100kg rencah laksa Sarawak, 225kg laksa beras, 90kg udang, 1,008 biji telur dan 80kg ayam yang disediakan oleh 15 tukang masak selama 18 jam dianjurkan oleh Plaza Merdeka Management Sdn Bhd.

Sebahagian komen netizen mengenai laksa tersebut

Memetik laporan BorneoPost, bagaimanapun pihak penganjur telah mendedahkan punca sebenar hidangan laksa tersebut terpaksa dibuang pada Sabtu lepas.

Menurut Pengurus Besar Plaza Merdeka, Cheah Kheng Mun, mereka mahu mengagihkan makanan tersebut pada Sabtu bermula jam 4 petang tetapi juadah yang dimasak pada pagi Jumaat terpaksa dibuang kerana mulai basi dan berbau busuk kira-kira jam 7 malam hari yang sama.

“Selepas ia dipamerkan, kami tidak boleh agihkan ia begitu saja kerana penasihat kami memberitahu kuahnya – daripada santan kelapa – mesti dikekalkan pada suhu tertentu.

“Menjelang jam 7 malam santan itu sudah basi dan laksa berkenaan perlu dilupuskan,” katanya.

Walaubagaimanapun pihak penganjur telahpun mengakui ianya sebagai satu kesilapan dan berterima kasih kepada orang ramai yang memberikan maklum balas mengenai usaha berkenaan.

"Kami akan belajar daripada kesilapan. Jika kami mula mengabaikan kesilapan, kita tidak boleh menjadi lebih baik. Falsafah kami ialah memastikan kami melakukan sesuatu dengan betul, bukan menjadikan sesuatu itu betul," katanya. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA