Jangan Sentuh Rumpai Laut Merah Walaupun Tidak Beracun


KUALA TERENGGANU - Rumpai laut merah yang terdampar di pantai Tanjung Gelam dekat sini sejak Jumaat lalu tidak beracun bagaimanapun orang ramai diminta tidak mengambil atau menyentuhnya bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Siti Aisyah Abdullah berkata, fenomena seumpama itu bukan pertama di negeri ini kerana kejadian sama pernah direkodkan pada November 2003 di sepanjang pantai berkenaan hingga ke Merang.

“Ini merupakan fenomena biasa berkemungkinan akibat pergerakan arus laut, bagaimanapun kita akan membuat kajian secara terperinci tentang rumpai laut yang telah mati berkenaan sama ada ia spesis yang sama atau sebaliknya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kemunculan hidupan laut itu di sepanjang kira-kira 300 meter di pantai berkenaan menggemparkan penduduk apabila dikatakan mengeluarkan bau busuk serta memberi kesan gatal. - UTUSAN ONLINE

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA