'Jangan Beri Dua Suntikan Imunisasi Pada Hari Sama' - Kementerian Kesihatan


PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan mengarahkan semua klinik kesihatan untuk tidak memberikan dua jenis suntikan imunisasi kepada bayi pada hari yang sama.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, suntikan imunisasi seharusnya diberikan satu persatu mengikut jangka masa yang digariskan dalam Jadual Imunisasi Kebangsaan.

"Memberikan dua suntikan pada masa sama berlaku apabila jadual imunisasi dilanggar," katanya yang menggesa ibu bapa supaya mematuhi jadual imunisasi berkenaan.

Beliau berkata, sekiranya ibu bapa terlepas jadual tersebut, mereka perlu berbincang dengan kakitangan penjagaan kesihatan untuk menjadualkan semula tarikh imunisasi bagi memastikan hanya satu suntikan diberikan setiap sesi.

"Kita telah memaklumkan kakitangan penjagaan kesihatan di klinik berhubung perkara ini," katanya.

Dr Lokman berkata demikian bagi mengulas mengenai pengakuan ibu bapa yang mendakwa anak-anak mereka menghidap autistik selepas disuntik dua jenis vaksin pada hari sama, semasa usia 18 bulan.

Beliau menegaskan tiada bukti saintifik yang boleh mengaitkan autisme dengan vaksi MMR (campak, beguk dan rubella).

Menurut jadual imunisasi di Malaysia pada masa ini, kanak-kanak berusia 18 bulan diberikan satu suntikan yang meliputi lima dalam satu vaksin iaitu DTaP-Hib/IPV (difteria, tetanus, pertusis, hemophillus influenza B dan Polio).

"Ia merupakan satu suntikan. Ia adalah vaksin yang sama diberikan pada usia dua bulan, tiga bulan dan lima bulan.

"Oleh itu, tidak ada kaitan antara vaksin yang diberikan pada usia 18 bulan dengan autisme," katanya.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA